Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mengesahkan bahawa tiada pesawat Bombardier CL-415MP miliknya diatur gerak bagi operasi pemadaman kebakaran hutan di Sumatera, Indonesia pada masa ini.

Penjelasan ini dibuat susulan laporan media dan penyebaran video tular di media sosial yang mendakwa aset udara negara itu sedang terlibat dalam operasi pemadaman kebakaran di negara jiran berkenaan.

Menurut Maritim Malaysia, hasil semakan mendapati video yang tular itu merupakan rakaman lama sewaktu penglibatan pesawat Bombardier CL-415MP dalam misi bantuan pemadaman kebakaran hutan di Sumatera pada tahun 2015.

“Sebarang laporan atau perkongsian yang memberikan gambaran bahawa pesawat Bombardier CL-415MP Maritim Malaysia sedang melaksanakan operasi water bombing di Sumatera pada masa ini adalah tidak tepat dan boleh menimbulkan kekeliruan kepada masyarakat,” jelas agensi tersebut dalam satu siaran media.

Maritim Malaysia turut menegaskan bahawa ketika ini, semua pengoperasian aset udara agensi ditumpukan sepenuhnya kepada penugasan rutin dan pemantauan keselamatan perairan negara.

Dalam pada itu, agensi berkenaan menghargai keprihatinan pihak media dan orang ramai, namun menggesa semua pihak agar menyemak kesahihan, tarikh, serta konteks sesuatu maklumat atau rakaman sebelum menyebarkannya bagi mengelakkan penularan maklumat palsu.

Maritim Malaysia menegaskan bahawa sebarang maklumat rasmi berhubung penugasan atau pengaturan gerak aset agensi bagi misi bantuan kemanusiaan dan pengurusan bencana di luar negara hanya akan dimaklumkan menerusi saluran rasmi agensi sekiranya ada.