Perang dagang antara Amerika Syarikat (AS) dan China kini bawa gelombang besar kepada gergasi teknologi dunia, Apple.
Terbaru, menurut laporan CNBC, Apple merancang memindahkan pengeluaran iPhone dari China ke India untuk produk yang akan dijual ke pasaran AS.
Langkah berani ini diambil selepas Presiden AS, Donald Trump memperkenalkan tarif resiprokal 145% terhadap barangan import dari China.
China pula membalas dengan tarif 125% untuk produk dari AS. Perang tarif ni bukan kecil-kecil anak – ia mula ubah peta industri elektronik dunia.
India Jadi Fokus Baru
India bukan pemain baru dalam rantai bekalan jenama terkenal dunia ini.
Selama beberapa tahun, Apple perlahan-lahan mula memindahkan sebahagian pengeluaran iPhone ke sana, bekerjasama dengan Foxconn dan Tata Electronics.
Pada suku pertama 2025, India menyumbang 20% daripada pengeluaran global iPhone – meningkat 60% berbanding tahun lalu.

Tapi kini, jenama ini merancang untuk jadikan India pusat utama bagi pengeluaran iPhone yang dihantar ke pasaran Amerika.
Langkah ini dianggap ‘power move’ memandangkan 90% iPhone masih dirakit di China, dan China sendiri menyumbang 80% daripada kapasiti pengeluaran Apple.
Tapi situasi politik dan tarif memaksa perubahan besar.
Malaysia Turut Ambil Peranan
Walaupun tidak sebesar India dan China, Malaysia turut memainkan peranan penting.
Menurut laporan, Malaysia terlibat dalam sebahagian kecil pengeluaran Mac dan mungkin akan terlibat lebih banyak jika Apple terus kurangkan kebergantungan terhadap China.

Negara jiran seperti Vietnam dan Thailand juga tidak ketinggalan – dengan Vietnam kini menghasilkan 90% wearable dan sebahagian besar iPad.
Bloomberg Intelligence menganggarkan ia mungkin mengambil masa sehingga 8 tahun untuk memindahkan 10% daripada pengeluaran Apple ke luar China.
Beberapa negara lain yang mengeluarkan komponen produk Apple seperti cip dan panel skrin ialah Korea Selatan, Jepun, Taiwan dan Amerika Syarikat (AS).