Seperti yan dinantikan ramai, siri iPhone 16 akhirnya diumumkan pada hari ini oleh syarikat Apple. Model generasi baharu ini menampilkan sejumlah penaik tarafan yang besar seakan macam versi Pro pula.
Mana tidaknya, pada kali ini bukan sahaja dari segi luaran, malah dari segi spesifikasi tampak luar biasa kerana adanya cip A18 yang mempunyai kemampuan yang cukup hebat sekaligus memberi satu anjakan besar kepada prestasi keseluruhannya.
Apple iPhone 16

Model Apple iPhone 16 ini dikuasakan dengan cip Apple A18 yang mana merupakan cip paling terkini hasil buatan Apple silicon menjadikan ia lebih berkuasa dalam masa sama kadar penggunaan tenaga yang lebih efisien.
Memandangkan kuasa pemprosesan yang cukup mantap sekaligus mampu menawarkan sokongan kecerdasan buatan menerusinya yang dikenali sebagai Apple Intelligence.

Apple malah mengatakan iPhone 16 direka khas untuk arena kecerdasan buatan. Melalui Apple Intelligence, pengguna boleh menikmati sejumlah perkara, termasuk ringkasan pada notifikasi, Siri yang ditambahbaik, serta integrasi yang lain.
Bahkan, Apple Intelligence boleh membantu anda merangka ayat yang lebih profesional serta menjana gambar serta emoji menerusi teks sahaja.
Walaubagaimanapun, ciri Apple Intelligence ini akan diperkenalkan secara berperingkat bermula bulan Oktober 2024 kelak.
Keupayaan cip ini juga tidak terhenti di sini kerana ia juga boleh menyokong ciri ray tracing yang mana boleh menambah baik penawaran visual dan aksi yang lebih lancar untuk permainan video berdefinisi tinggi menerusinya.

Dari segi rekaan, siri iPhone 16 masih dilihat mempunyai karakteristik yang sama dengan model sebelumnya namun ditambah dengan pilihan butang tindakan khas pada bahagian tepi.
Menariknya, ia boleh dipautkan dengan aplikasi menjadikan ia sebagai butang pintas untuk mengakses sesuatu tetapan atau aplikasi dengan pantas.

Selain itu, iPhone 16 turut menyertakan butang kawalan kamera pada bahagian tepi, membolehkan anda menggunakannya dalam mengakses aplikasi kamera secepat mungkin sekaligus boleh merakam gambar dengan lebih baik.
Pada kali ini, terdapat dua model yang ditawarkan menerusi barisan siri iPhone 16 iaitu iPhone 16 dan iPhone 16 Plus. Untuk yang biasa, hadir dengan skrin bersaiz 6.1-inci sementara yang model yang lebih besar hadir dengan 6.7-inci.

Tentang fotografi pula, kedua-dua model ini dilengkapi kamera utama 48-megapixel yang membolehkan anda menangkap gambar atau merakam video lebih jelas.
Malah, terdapat sokongan spatial untuk gambar dan video yang mana membolehkan hasil gambar tampil lebih imersif lalu disiarkan pada Apple Vision.

Difahamkan iPhone 16 dibekalkan saiz bateri lebih besar dan ini membenarkan pengguna menggunakannya dalam jangka masa panjang. Sokongan integrasi komunikasi kecemasan secara satelit turut disertakan bersama iPhone 16 ini
Di Malaysia, penawaran siri iPhone 16 akan bermula 20 September 2024 dan sedia dijual pada harga bermula RM3,999 untuk iPhone 16 dan RM4,499 untuk iPhone 16 Plus.