Jarum berdetik tepat pada pukul 12 pagi tadi telah menandakan kita sudah masuk ke hari seterusnya iaitu 20 September dan ini juga menandakan barisan iPhone 16 sudah mula dijual secara rasmi di Kedai Apple Malaysia.
Dikala semua orang sedang nyenyak dibuai mimpi, rupanya ada sebahagian peminat Apple yang sanggup pergi bermalam di hadapan kedai Apple Store di TRX Exchange.
Mana taknya, dilaporkan sejumlah individu sudah beratur seawal 2 pagi dalam memastikan mereka boleh mendapatkan telefon pintar idaman mereka.
Menariknya lagi, tular beberapa gambar yang memperlihatkan warga Vietnam yang sanggup terbang ke sini demi menjadi pembeli yang terawal di Malaysia.
Untuk menjadikan pengembaraannya lebih berbaloi, mereka sedia membelanjakan wang yang besar dalam mendapatkan enam buah telefon pintar iPhone 16 sekaligus di Malaysia.
Menjelang pukul 7 pagi, sekitar 70 orang sudah berbaris panjang dalam menunggu giliran masing-masing untuk pembelian.
Kedai Apple TRX Exchange yang sepatutnya beroperasi pada pukul 10 pagi juga memperlihatkan pekerja membuka pintu lebih awal demi memberi laluan kepada peminat Apple yang mahu membeli barisan iPhone 16 secara walk-in serta yang mahu mengambil pra-tempahan sebelum ini.
Stok yang terhad membuatkan iPhone 16 ini menjadi rebutan orang ramai dek kerana ingin menjadi pemilik terawal lalu ditayang di media sosial.
Untuk makluman, Malaysia merupakan salah satu pasaran di dunia yang sedia menerima barisan iPhone 16 paling terawal. Jadi, tidak hairanlah bukan peminat tempatan sahaja yang berminat dengannya, malah dari luar negara juga tidak mahu melepaskan peluang untuk jadi pemilik terawal.