Setelah sekian lama berteka-teki di kalangan peminat tempatan, akhirnya Apple Malaysia sedia berkongsi maklumat berhubung pembukaan kedai fizikal pertama mereka di Malaysia.

Dengan ini, Apple Store pertama yang bertempat di TRX Exchange, Kuala Lumpur akan dibuka secara rasmi kepada umum mulai 22 Jun ini pada pukul 10 pagi.

Sumber Gambar: Nasi Lemak Tech

Selaras dengan pengumuman ini, Apple turut mendedahkan laman rasmi bagi pembukaan Apple, The Exchange TRX sudah boleh diakses oleh orang ramai menerusi pautan di sini.

Untuk makluman, Apple Store bukan sekadar kedai yang menjual peralatan dan perkakasan Apple semata-mata, tetapi juga menawarkan pengalaman yang menyeluruh untuk perkhidmatan Apple.

Ini termasuklah mengadakan bengkel-bengkel untuk komuniti dalam mengajar penggunaan produk Apple atau pun mempelajari perisian terkini yang tersedia pada peranti mereka.

Dengan pembukaan Apple Store ini juga, anda berpeluang menikmati pilihan trade in yang menawarkan rebat ribuan ringgit apabila mahu beralih ke produk Apple baharu.

Anda juga akan lebih mudah menuntut waranti dengan adanya Apple Store rasmi di sini.

Bagi anda yang berminat merasai pengalaman kedai fizikal rasmi Apple ini, anda boleh berkunjung ke Apple Store di TRX Exchange, Kuala Lumpur bermula 22 Jun 2024 kelak.