England Football Association (FA) baru-baru ini menjelaskan keputusannya menyokong Arab Saudi sebagai tuan rumah Piala Dunia FIFA 2034.
Keputusan ini mencetuskan perbincangan, terutama selepas FA menyatakan mereka telah menerima “jaminan” bahawa semua peminat, termasuk golongan LGBTQ+, akan “selamat dan dialu-alukan” di negara itu semasa Piala Dunia 2034 nanti.
Pengumuman ini dibuat tidak lama selepas Presiden FIFA, Gianni Infantino, mengesahkan Saudi sebagai tuan rumah rasmi Piala Dunia 2034 pada Rabu, 11 Disember 2024.
Pengerusi FA, Debbie Hewitt, ketika bercakap di BBC Radio 5 Live, mendedahkan bahawa keputusan untuk menyokong bidaan Saudi bukan dibuat secara terburu-buru.
“Keputusan ini bukanlah sesuatu yang sukar, tetapi ia melibatkan proses yang sangat teliti,” katanya.
Menurut Hewitt, FA telah mengadakan pertemuan dengan Persekutuan Bola Sepak Arab Saudi (SAFF) pada November lalu untuk membincangkan secara terperinci mengenai bidaan tersebut.
Salah satu perkara yang dibincangkan adalah semua peminat, termasuk komuniti LGBTQ+, dapat hadir dengan selamat pada Piala Dunia 2034 nanti.
“Kami bertanya banyak soalan kepada mereka dan mereka memberi banyak komitmen. Salah satu komitmen itu ialah memastikan semua peminat akan dialu-alukan, selamat, dan dihormati di Saudi pada tahun 2034,” tambahnya.
Hewitt turut menyatakan bahawa FA akan bekerjasama dengan Saudi selama 10 tahun akan datang untuk memastikan semua jaminan tersebut dipenuhi.
“Ini bukan hanya tentang tuan rumah, tetapi juga tentang kerjasama untuk menjayakan sebuah kejohanan besar,” katanya kepada Reuters.
Ini merupakan kali kedua rantau Timur Tengah menjadi tuan rumah Piala Dunia, selepas Qatar pada 2022.
Namun, penganjuran di Arab Saudi, sebuah negara yang terkenal dengan undang-undang ketat terhadap golongan LGBTQ+, mencetuskan perdebatan global.
Piala Dunia 2034 akan menjadi lebih besar dengan format baharu yang melibatkan 48 pasukan.
Ia bakal berlangsung di 15 stadium di lima bandar utama Saudi: Riyadh, Jeddah, Al Khobar, Abha, dan projek futuristik NEOM.
Sebagai persediaan, Saudi merancang untuk membina 10 stadium baharu, termasuk Stadium King Salman di Riyadh yang mampu memuatkan 92,000 penonton.
Stadium ini dijangka menjadi lokasi perlawanan pembukaan dan final.