Arab Saudi kini bersedia menggoncang dunia pelancongan global dengan langkah mengejutkan – buat pertama kalinya dalam sejarah moden, negara ini akan membenarkan penjualan alkohol secara terkawal di 600 lokasi pelancongan menjelang tahun 2026, lapor The Sun.

Kerajaan yang terkenal dengan dasar ultra-konservatif ini akhirnya ‘menghalalkan’ alkohol – tapi dengan syarat ketat dan hanya di tempat-tempat terpilih seperti hotel lima bintang, resort mewah dan kawasan eksklusif untuk ekspatriat.

Arab saudi

Langkah ini adalah sebahagian daripada usaha besar-besaran di bawah inisiatif Visi 2030 yang dipacu oleh Putera Mahkota Mohammed Bin Salman.

Objektifnya? Untuk membuka pintu kepada pelancong antarabangsa, menarik pelaburan asing dan menjenamakan semula Arab Saudi sebagai negara Islam progresif yang tetap menjaga identiti budayanya.

Arab saudi

Jangan bayangkan pesta bebas seperti di Ibiza atau Bangkok – penjualan alkohol akan dikawal rapi.

Minuman yang dibenarkan hanyalah arak ringan seperti wain, bir dan cider, manakala minuman keras seperti vodka, whisky atau rum tetap haram.

Alkohol juga masih dilarang di tempat awam, rumah persendirian, kedai runcit dan kawasan penyokong (fan zones) – termasuk semasa Piala Dunia FIFA 2034 yang akan dihoskan Arab Saudi.

Arab saudi

Namun begitu, ini tetap satu perubahan besar buat sebuah negara yang selama ini begitu tegas menentang sebarang bentuk penggunaan alkohol.

Sebelum ini, sebarang cubaan untuk menyeludup atau meminum arak boleh membawa kepada hukuman berat termasuk penjara, denda besar, deportasi atau sebelum ini – sebatan di khalayak ramai.