Seorang jemaah wanita dari Palestin dilaporkan ditahan polis Arab Saudi kerana membawa bendera Palestin di Masjidil Haram, Mekah.

Menurut laporan MintPress News, polis Saudi mendakwa tindakan wanita itu sebagai “kenyataan politik,” walaupun beliau menjelaskan bahawa bendera tersebut hanya melambangkan kewarganegaraannya.

Arab Saudi
Sumber: REUTERS/Mohammed Salem

Kejadian ini menimbulkan kemarahan aktivis antarabangsa, tamabh-tambah ini bukan kali pertama Saudi mengambil tindakan sedemikian terhadap mereka yang menunjukkan sokongan kepada Palestin.

Bendera Palestin Dianggap “Politik,” Bendera Negara Lain Tidak?

Wanita tersebut, yang namanya belum didedahkan, memberitahu pihak media bahawa beliau tidak memahami mengapa bendera Palestin dianggap sebagai isu politik, sedangkan jemaah dari negara lain seperti Maghribi dan Turki bebas membawa bendera negara mereka.

“Saya hanya menunjukkan identiti saya sebagai rakyat Palestin. Ini bukan politik, ini tentang siapa saya,” katanya, menurut sumber.

Arab Saudi
Sumber: Al Jazeera

Namun, polis Arab Saudi dikatakan tetap berkeras dan menahan beliau dengan alasan “mengeluarkan kenyataan politik” di tempat suci.

Sokongan kepada Palestin

Ini bukan insiden pertama Arab Saudi menahan jemaah kerana isu berkaitan Palestin.

Pada Februari 2023, seorang jemaah wanita juga ditahan kerana mengibarkan bendera Palestin ketika tawaf di Kaabah.

Pada November 2023, dua individu—seorang dari Algeria dan seorang syeikh Turki—ditangkap kerana dikatakan mendoakan keamanan untuk Gaza dan Palestin semasa menunaikan haji.

Tindakan Saudi ini dilihat sebagai sebahagian daripada cara untuk membendung sebarang bentuk sokongan terbuka kepada perjuangan rakyat Palestin.

Arab Saudi
Sumber: Al Jazeera

Kerajaan Saudi sering menuduh mereka yang melakukan hal demikian sebagai “mempolitikkan ibadah.”

Aktivis hak asasi manusia di seluruh dunia, termasuk di Malaysia, mengutuk tindakan Saudi tersebut.

Ramai yang mempersoalkan mengapa menunjukkan bendera Palestin—simbol perjuangan rakyat tertindas—dianggap sebagai kesalahan, sedangkan bendera negara lain dibenarkan.