Nama Ariff Peter menjadi bualan warganet selepas tular kisahnya menjadikan Proton Wira sebagai ‘rumahnya’ bagi melangsaikan hutang sebanyak RM1.2 juta secepat mungkin.
Pada akhir Oktober lalu, Ariff telah berjaya melunaskan kesemua hutangnya itu. Baki hutang sebanyak RM30,000 sudah dilangsaikan hasil bantuan rakan perniagaannya yang mahu beliau fokus kepada perniagaan yang dimulakannya.
Baca Juga:
- Isu Kesal Guna Duit KWSP Labur ‘Unit Trust’, Pakar Kewangan Dedah Realiti Sebenar
- Bagaimana Tindakan Pantas Usahawan Ini Berjaya Elak Jenamanya Daripada Bankrap
- ‘Ibu Lebih Percayakan Scammer’ – Anak Luah Rasa Kesal Duit Lebih RM60,000 Milik Ibunya Lesap
Bagaimanapun ada yang berasa skeptikal dengan dirinya yang berjaya menyelesaikan hutang sebanyak itu dalam masa yang singkat.
Di platform TikTok ramai yang mendakwa dirinya terlibat dengan beberapa aktiviti-aktiviti tidak bermoral untuk melunaskan hutang tersebut — termasuklah ‘menjual jiwa’ kepada organisasi Freemason, Illuminati.
@ariffpeter
Dalam beberapa hantaran video yang dimuat naiknya pada akaun TikTok miliknya, Ariff menyangkal dakwaan-dakwaan yang tidak masuk akal yang dilemparkan oleh netizen.
Pun begitu, beliau memaafkan kekhilafan segelintir pihak dan pada masa sama meminta orang ramai agar berhenti menyebarkan tuduhan tidak berasas itu.
Sementara itu dalam satu video diwawancara oleh Amelia Handerson, Ariff menceritakan ‘rahsia’ bagaimana beliau berjaya melunaskan kesemua hutangnya tersebut.
“Saya tahu satu benda, lagi besar hutang saya nak bayar, lagi besar usaha saya kena buat,” terang Ariff kepada Amelia.
Ariff mendedahkan beliau perlu membuat lebih tiga pekerjaan pada satu-satu masa supaya beliau dapat melunas tunggakkan hutang dihadapinya.
Pada akhir video wawancara itu, Ariff Peter berharap orang ramai yang mempunyai masalah sepertinya agar tidak berputus asa dan bekerja keras sebaik mungkin bagi menyelesaikan hutang itu.