Kementerian Pelancongan Mesir mengumumkan bahawa ahli arkeologi mereka telah menemui sisa-sisa kuil purba yang dibina untuk memuja raja para dewa, Zeus Kasios, yang juga dewa petir yang terkenal dalam mitologi Yunani, lapor Live Sciene.
Runtuhan bangunan itu ditemui di tapak arkeologi Tell el-Farama di barat laut Semenanjung Sinai. Pada zaman Yunani-Rom (332 SM hingga 395 M), kawasan ini dikenali sebagai kota dan pelabuhan Pelusium yang terletak di hujung timur muara Sungai Nil. Kerana lokasinya yang strategik, Pelusium telah digunakan oleh masyarakat untuk pelbagai fungsi termasuk sebagai kubu pada zaman firaun Mesir.
Pasukan arkeologi menemui kuil Zeus selepas menggali di sekitar tinggalan dua tiang merah jambu yang terletak di kawasan terbabit.
Menurut Mostafa Waziri, setiausaha agung Majlis Tertinggi Mesir, tiang-tiang ini pernah membentuk pintu pagar hadapan bangunan itu, tetapi ia runtuh pada akibat gempa bumi kuat yang melanda wilayah tersebut.
Difahamkan bahawa penyelidik sudah mengetahui bahawa di lokasi ini mungkin terdapat kuil atau kawasan pemujaan bagi dewa Zeus-Kasios. Pada awal 1900-an, ahli arkeologi mengesahkan, tiang yang ditemui dipercayai dibawa dari tempat lain dengan menggunakan tongkang yang melalui Sungai Nil, dari Aswan di selatan Mesir ke Pelusium.
Di samping itu, ahli Mesir Jean Cledat juga telah menemui inskripsi Yunani di tapak tersebut. Baginya, ia menunjukkan kuil Zeus-Kasios mungkin telah dibina semasa Zaman Graeco-Rom. Bagaimanapun, ahli arkeologi tidak pernah melakukan sebarang penggalian rasmi.
Selain menemui sisa-sisa kawasan pemujaan Zeus, para penyelidik juga menemui sebahagian daripada senibina kuil iaitu blok yang dianggap tangga yang menuju ke pintu masuk kuil di sebelah timur bangunan tersebut.
Ayman Ashmawy, ketua sektor penyelidikan Mesir di Majlis Tertinggi, berkata beberapa blok granit merah jambu besar ditemui di jalan-jalan di sekitar tapak kuil, menunjukkan bahawa pekerja pada masa itu mungkin menggunakan runtuhan kuil untuk bangunan lain, salah satu daripadanya merupakan sebuah gereja.
Para saintis sedang mendokumentasikan batu-batu yang baru dianalisis dengan fotogrametri, teknik di mana berbilang imej digital digunakan untuk mencipta imej maya 3D. Ini akan membantu pasukan cuba membina semula kuil secara maya.
Sebagai tanda hormat, kerajaan Egypt adakan perarakan mewah untuk 22 mumia firaun diraja. Rujuk pautan di bawah untuk membaca.
Sebagai Tanda Hormat, Kerajaan Egypt Adakan Perarakan Mewah Untuk 22 Mumia Firaun Diraja
Kerajaan Mesir Kawal Ketat Pemindahan Kapal Besar Milik Firaun Khufu Ke Muzium
Lihat Bagaimana Saintis Berjaya Hidupkan Semula Nebiri, Mumia Mesir Kuno Berusia 3,500 Tahun