Pemain bola sepak remaja, Arsyad Razin Bin Asyraf Fitri telah selesai menjalani sesi latihan selama seminggu bersama DS Football Academy Madrid, Sepanyol.

Pemain berusia 15 tahun itu diterbangkan ke Madrid selepas berjaya memenangi Football Trials anjuran TH Global Football Camp di MMU Cyberjaya.

Baca Juga:

Walaupun sesi latihan khas itu hanya dinikmati selama seminggu, namun pasti banyak ilmu baharu diperolehi Arsyad Razin sepanjang berada di sana.

Arsyad Razin
Arsyad Razin memiliki saiz fizikal yang baik

Malah laporan penilaian diberikan oleh barisan kejurulatihan akademi tersebut juga memberikan isyarat jelas Arsyad Razin mampu menjadi pemain bola sepak yang baik di Eropah.

Menurut penilaian tersebut, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Presint 14, Putrajaya yang juga kapten pasukan Akademi Bolasepak Felda bawah 15 Tahun itu dinilai sebagai seorang pemain dengan pakej teknik asas kukuh, kecerdasan taktikal baik sertai mempunyai potensi besar untuk terus berkembang.

Berikut merupakan laporan penuh penilaian kejurulatihan, rumusan serta potensi pemain dari kacamata DS Football Academy:

Analisis Teknikal dan Taktikal 

1) Passing & Distribution

Pemain ini bermain dengan penuh ketenangan ketika memegang bola. Dia cenderung melakukan hantaran yang mudah tetapi tepat bagi memulakan gerakan dari bahagian pertahanan.

Keyakinannya kekal tinggi walaupun diasak, sambil bijak mengalirkan bola ke bahagian berbeza padang mengikut keperluan permainan.

2) Positioning & Defensive Presence

Arsyad Razin menunjukkan pemahaman ruang yang kukuh serta kekal berdisiplin dalam posisi pertahanan.

Dia sering membaca gerakan serangan lawan dengan baik dan berjaya menyekat ancaman secara efisien.

Ia merupakan satu gambaran kematangan dalam pemahamannya terhadap permainan.

3) Duels & Defensive Transitions

Terlibat secara agresif dalam situasi ‘satu lawan satu’ dengan sikap proaktif untuk merampas semula bola.

Selepas kehilangan penguasaan, Arsyad bertindak pantas dan bersemangat tinggi untuk memimpin tekanan balas (pressing) dari barisan hadapan dalam usaha mendapatkan kembali penguasaan bola.

Arsyad Razin
Antara barisan kejurulatihan di DS Football Academy

4) Decision-Making & Composure

Secara umum membuat keputusan yang tepat ketika berada di bawah tekanan.

Namun, terdapat sedikit keraguan dalam situasi tertentu — khususnya ketika menentukan waktu untuk melangkah ke hadapan atau mengimbangi tanggungjawab menjaga pemain lawan.

Penambahbaikan dalam kelajuan membuat keputusan akan meningkatkan kebolehpercayaannya di atas padang.

5) Aerial Ability

Sangat meyakinkan dalam situasi perebutan bola di udara.

Pemain ini kerap memenangi perebutan bola tinggi dan mempunyai masa lompatan yang sangat baik, menjadikannya aset penting ketika bertahan mahupun menyerang dari situasi bola mati.

Rumusan & Cadangan 

Seorang pertahanan tengah yang tenang dan berdisiplin, dengan kelebihan dalam penempatan posisi, bacaan permainan yang tajam serta kekuatan fizikal yang menonjol.

Arsyad memberi kestabilan kepada barisan pertahanan dan mampu memulakan serangan dari bawah secara tepat dan tenang.

Dengan penambahbaikan dalam aspek kelajuan membuat keputusan serta komunikasi kepimpinan di atas padang, pemain ini berpotensi untuk menjadi tonggak utama dalam pasukan yang bersaing secara kompetitif.

Potensi Arsyad Razin Bermain Di Sepanyol

Berdasarkan pemerhatian sepanjang penyertaan pemain ini di peringkat latihan berprestasi tinggi di Sepanyol, kami percaya Arsyad Razin memiliki kualiti yang mencukupi untuk beraksi dalam liga kategori autonomi (Liga Divisyen 3 selepas LaLiga dan Liga Segunda) di Sepanyol.

Tahap teknikal, fizikal dan pemahamannya terhadap permainan memenuhi piawaian untuk bersaing di peringkat tersebut.