Mikel Arteta percaya Chelsea mempunyai segala ramuan yang diperlukan untuk mencabar kejuaraan Premier League musim ini.
Ini kerana Chelsea memiliki skuad yang sangat bagus, ditambah pula mereka tidak bermain di pentas Liga Juara-Juara Eropah atau UCL.
Arsenal yang merupakan juara bertahan akan berdepan Chelsea pada Ahad, dengan kedua-dua pasukan memulakan kempen baharu dengan dua kemenangan daripada dua perlawanan.
Chelsea mula dilihat sebagai antara pencabar berpotensi musim ini dan Arteta mengakui mereka mempunyai kualiti untuk bersaing di kelompok teratas liga.
“Saya rasa mereka mempunyai segala ramuan untuk berada di bahagian tertinggi liga, itu sudah pasti,” kata Arteta.
Menurut Arteta, sejarah Chelsea, kualiti skuad yang dimiliki serta kemampuan pengurus mereka menjadi antara faktor yang boleh membantu The Blues mencabar pasukan terbaik liga.
“Mengenali beliau [Alonso], mengetahui sejarah kelab itu, kualiti skuad yang mereka ada, serta jadual perlawanan yang akan mereka lalui berbanding pasukan lain, jadi sangat, sangat berkemungkinan mereka akan berada di kedudukan tersebut,” katanya.
Kenyataan Arteta itu hadir menjelang pertembungan Arsenal dan Chelsea yang bakal menemukan dua pasukan dengan permulaan sempurna dalam saingan Premier League musim ini.
Lantas Arteta mengingatkan semua pihak bahawa Chelsea tidak bermain di UCL atau mana mana pertandingan Eropah yang akan memberikan mereka kelebihan dari segi jadual yang kurang padat.
“Kelebihan yang mereka ada adalah pada jadual mereka kerana mereka tidak bermain di Eropah.
“Itu sudah tentu akan menjadi faktor penting, di samping kualiti dan sudah tentu pengurus yang mereka miliki,” tegas Arteta.