Arsenal tidak rela tersandung lagi atau istilah ‘bottling’ gelaran EPL pada musim ini. Ianya selepas Mikel Arteta dan Arsenal menjadi naib juara EPL sebanyak 3 musim berturut turut.

Beberapa minggu lalu, Arteta menyatakan bahawa ‘bottling’ tiada dalam kamus hidupnya.

Skuad kendalian Mikel Arteta sedar setiap perlawanan kini ibarat final jika mereka benar-benar mahu menjulang trofi Premier League musim ini.

Beberapa keputusan kurang meyakinkan sebelum ini jelas menjadi amaran awal buat The Gunners. Dalam perlumbaan yang semakin sengit, kehilangan mata walau satu perlawanan boleh mengubah keseluruhan naratif musim.

Arsenal kini berdepan tekanan hebat daripada pencabar terdekat mereka, Man City semakin kembali ke rentak terbaik mereka dan memiliki pengalaman yang banyak dalam mengendalikan tekanan persaingan kejuaraan.

Mikel Arteta percaya semangat berpasukan Arsenal akan menjadi kekuatan utama mereka ketika memasuki fasa genting musim ini.

Buat kali pertama sejak Krismas, Arsenal F.C. menikmati minggu tanpa perlawanan pertengahan minggu ketika mereka bersiap sedia untuk menentang Chelsea F.C. pada Ahad ini.

Manchester City F.C. turut melalui jadual yang lebih ringan dan pengurusnya, Pep Guardiola, menggesa pemainnya bercuti dan menikmati masa untuk menyegarkan diri.

Arteta pula memilih untuk tidak membawa skuadnya terbang ke luar negara walaupun peluang ke Dubai agak ‘menggoda’, sebaliknya memberi pemain cuti beberapa hari pada awal minggu.

Arteta mendedahkan bahawa ramai pemain tetap memilih untuk meluangkan masa bersama walaupun diberi cuti — satu bukti betapa rapatnya hubungan dalam skuad ini.

“Saya harap kami boleh berada di Dubai,” kata Arteta.

“Jika kami ada satu atau dua hari lagi, saya boleh jamin kami sudah berada di Dubai beberapa hari kerana semua orang mahukannya.”

Namun Arteta mengakui terkejut apabila mendapati para pemain tetap berkumpul bersama walaupun diberi masa rehat. Dan dia yakin semangat itu penting untuk Arsenal menamatkan penantian kejuaraan EPL.

Arteta berkata: “Kadang-kadang bila saya beri mereka cuti, anda fikir mereka tidak mahu berjumpa sesama sendiri.

“Tapi kemudian saya dapat tahu lapan atau sepuluh pemain makan malam di rumah seseorang atau meluangkan sepanjang petang bersama.

“Itulah keindahannya — mereka mahu bersama kerana mereka rasa itu perkara terbaik yang boleh dilakukan. Minggu ini pun begitu dalam banyak keadaan.”

Arsenal sebelum ini pernah menganjurkan acara barbeku bersama pemain dan keluarga ketika jadual sedikit longgar. Namun apabila ditanya sama ada ia berlaku minggu ini, Arteta berseloroh:

“Dengan cuaca begini? Kami cuma ada satu hari, hari Rabu. Tiada barbeku. Tapi barbeku itu akan datang.”

Arsenal akan menjadi tuan rumah kepada Chelsea pada Ahad ini, selepas meraih kemenangan dalam derbi London Utara menentang Tottenham minggu lalu.

Arteta mengakui minggu ini agak berbeza buat pasukannya kerana mereka akhirnya mempunyai masa tambahan di padang latihan.

“Ia berbeza kerana sebelum ini kami memang tiada masa. Jadi mereka ada sedikit masa rehat. Selepas itu kami ada lebih masa untuk berlatih juga.

Kami turut berkumpul dalam cara berbeza, contohnya malam tadi kami menghadiri acara Arsenal Foundation — ia sangat hebat untuk menjadi sebahagian daripadanya. Semua pemain hadir bersama.”

Beliau yakin minggu yang lebih tenang ini memberi persiapan terbaik menjelang aksi penting menentang Chelsea.

“Ia minggu yang berbeza, sangat baik untuk persiapan kami, dan harapnya kami boleh tunjukkannya pada hari Ahad.”