Dua kuasa besar dunia, Amerika Syarikat dan China sehingga ke hari ini masih mempunyai hubungan yang kompleks dan dinamik dipengaruhi oleh pelbagai faktor politik, ekonomi, dan ketenteraan.
Terbaharu, China dilaporkan kekal sebagai ancaman ketenteraan dan siber terbesar kepada Amerika Syarikat (AS).
Apa sebab AS terancam dengan China?

Laporan perisikan AS yang terkini mendedahkan bahawa Beijing sedang meningkatkan kemampuan ketenteraannya, yang dipercayai bertujuan untuk penguasaan Taiwan.
Memetik laman BuletinTV3, laporan itu turut mendedahkan bahawa Beijing berhasrat untuk mengungguli Amerika Syarikat sebagai peneraju kecerdasan buatan (AI) menjelang tahun 2030.

Selain itu, Rusia, Iran, Korea Utara, dan China didapati berusaha untuk mencabar dominasi Amerika Syarikat melalui pelbagai strategi untuk mendapatkan kelebihan.
Konflik di Ukraine telah memberikan pandangan penting tentang cabaran yang dihadapi dalam peperangan moden, terutamanya dalam menghadapi senjata dan perisikan Barat dalam pertempuran berskala besar.
Wujud kempen perang saraf dari China

Menurut laporan tersebut, terdapat kemungkinan bahawa PLA China sedang merancang untuk menggunakan taktik seperti penyebaran berita palsu, penyamaran, dan serangan siber terkoordinasi.
Tulsi Gabbard, Pengarah Perisikan Negara, menyatakan bahawa pasukan tentera China sedang memperkukuhkan keupayaan mereka dengan pelbagai teknologi canggih, termasuk senjata hipersonik, pesawat pejuang halimunan, kapal selam yang lebih maju, aset perang angkasa dan siber yang lebih kuat, serta peningkatan dalam jumlah senjata nuklear.
Malah, beliau melabelkan Beijing sebagai “pesaing strategik paling berkeupayaan bagi Washington.
“China hampir pasti mempunyai strategi nasional pelbagai dimensi untuk menggantikan AS sebagai kuasa AI paling berpengaruh di dunia menjelang 2030,” menurut laporan itu.
Presiden Donald Trump mengenakan kenaikan tarif sebanyak 20 peratus ke atas semua import dari China, sebagai hukuman terhadap Beijing kerana tidak mengambil tindakan berkesan untuk membendung penghantaran bahan kimia fentanyl.
China menafikan sebarang tanggungjawab utama dalam krisis kematian akibat pengambilan dadah berlebihan di Amerika Syarikat, satu isu yang telah menyebabkan ketegangan yang ketara antara pentadbiran Trump dan pegawai-pegawai China.
Jurucakap Kedutaan China di Washington, Liu Pengyu berkata, AS sudah lama “membesar-besarkan” ancaman China sebagai alasan untuk mengekalkan hegemoni ketenteraan.
“China bertekad menjadi kuasa bagi keamanan, kestabilan dan kemajuan dunia, serta mempertahankan kedaulatan, keselamatan, dan integriti wilayah kami.