Selepas ini, harapan pelajar yang mahu melanjutkan ke luar negara secara khususnya ke Amerika Syarikat mungkin akan terjejas dek kerana dasar baharu.
Memetik Harian Metro, Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Marco Rubia mengarahkan segala pemprosesan visa asing perlu dihentikan.

Pada masa yang sama, satu sumber dalaman mendedahkan bahawa pentadbiran Presiden AS, Donald Trump, semakin giat menyaring akaun media sosial pelajar asing.
Ini adalah tindakan terbaharu yang menyasarkan pelajar antarabangsa, yang sebenarnya merupakan punca pendapatan utama bagi universiti-universiti di AS.
Sebelum ini, Senator Rubio sudah membatalkan ratusan visa pelajar. Malah, pentadbiran Trump juga pernah cuba menyekat Universiti Harvard daripada menerima pelajar antarabangsa.
Rentetan itu, satu dokumen rasmi yang ditandatangani Rubio dan dilihat oleh AFP, mengarahkan semua kedutaan dan konsulat untuk tidak lagi membenarkan sebarang permohonan visa pelajar atau pertukaran sehingga arahan lanjut dikeluarkan.
Jurucakap Jabatan Negara AS, Tammy Bruce, tidak memberikan komen terus tentang arahan itu, namun beliau berkata,”Kami sangat serius dalam menilai siapa yang datang ke negara ini.”
Apabila ditanya sama ada pelajar yang ingin sambung belajar di universiti AS perlu pastikan visa mereka siap sebelum semester musim luruh bermula, Bruce menasihatkan, “Jika anda akan memohon visa, ikuti proses dan langkah biasa, dan bersedia untuk jangka masa semakan.”
Minggu lepas, Rubio memberitahu perbicaraan Senat bahawa beliau telah membatalkan ‘beribu-ribu’ visa sejak Trump menjadi Presiden pada 20 Januari lalu.