Sejak dari semalam lagi, kecoh warga tempatan  dengan kehadiran kabus gelap yang tebal menyelubungi sejumlah kawasan bandar yang dipercayai jerebu hasil daripada asap yang dibawa dari Indonesia.

Berdasarkan laporan media berpengkalan di Indonesia detiksumut, kebakaran hutan dan lahan berskala besar kini melanda beberapa kawasan di Provinsi Riau.

Asap Kebakaran Hutan Riau Kini Merebak Ke Malaysia
Sumber Gambar: detiksumut

Data satelit BMKG Pekanbaru pada pukul 10.00 waktu Indonesia Barat pagi semalam menunjukkan asap kebakaran bergerak ke arah timur laut, dan kini telah memasuki perairan Teluk Kemang, Malaysia.

“Berdasarkan peta penyebaran jerebu, asap bergerak ke arah Malaysia, walaupun kita tidak dapat menyatakan secara terperinci kawasan mana di Malaysia terjejas,” kata Bibin.

Data visual yang dikeluarkan oleh BMKG menunjukkan jerebu yang datang dari kawasan panas di beberapa wilayah Riau sedang merebak, dan ini disyaki sebagai punca utama kepulan asap tebal tersebut.

BMKG turut merekodkan sebanyak 695 titik panas atau hotspot di seluruh Sumatera. Daripada jumlah itu, Riau mempunyai paling banyak titik panas, iaitu 259 titik yang tersebar di 12 daerah dan bandar.

Kawasan di utara Riau dan perairan berdekatan turut menerima kesan langsung daripada jerebu.

Daripada keseluruhan 259 titik panas itu, Rokan Hulu mencatatkan jumlah tertinggi dengan 107 titik, diikuti oleh Rokan Hilir dengan 95 titik. Kawasan lain yang turut terkesan ialah Dumai (17 titik), Siak (15 titik), Kampar (10 titik), Pelalawan (7 titik), Bengkalis (5 titik), Kuantan Singingi (2 titik), manakala Indragiri Hulu merekodkan paling sedikit, iaitu 1 titik.

Asap Kebakaran Hutan Riau Kini Merebak Ke Malaysia
Sumber Gambar: AFP

Sementara perkembangan lain yang turut dikongsikan oleh Harian Metro, misi meredakannya daripada terus merebak kian terbantut selepas helikopter yang sepatutnya melepaskan bom air pula didapati rosak.

Keadaan ini membuatkan api menjadi marak dengan cepat hingga ke kebun penduduk.

Lebih mengerikan, api merebak ke kawasan seluas 10 ke 20 hektar pada satu-satu masa dan juga berpunca daripada angin kencang serta cuaca panas di samping petugas mengalami kesukaran memadam api di permukaan bumi yang cerun di kawasan berbukit.

Susulan ketiadaan sumber air di lokasi terbabit, anggota pasukan Tentera Nasional Indonesia (TNI), Polis Republik Indonesia (Polri) dan Badan Penanggulangan Bencana Daerah (BPBD) dan Manggala Agni terpaksa melakukan pemadaman secara manual menggunakan kayu.