Isu jerebu merentas sempadan memang bukan perkara baharu di rantau Asia Tenggara.
Setiap kali musim pembakaran terbuka kembali, ruang udara Malaysia, Singapura dan beberapa negara jiran pasti akan dilitupi asap tebal yang merimaskan.
Namun, baru-baru ini ada satu kejadian menarik di media sosial apabila saluran YouTube rasmi Upin & Ipin Animation memuat naik semula episod lama berkaitan jerebu hutan dan bahaya pembakaran terbuka.
Tindakan pihak produksi memuat naik semula kandungan berkenaan di platform YouTube seolah-olah hadir pada waktu yang ‘sangat tepat’ dengan situasi semasa.
Impaknya? Ruangan komen video tersebut terus dibanjiri ribuan maklum balas daripada warganet, terutamanya dari negara seberang, Indonesia.
Tersindir Tapi Pasrah
Sebaik sahaja video tersebut ditayangkan, ruangan komen terus bertukar riuh.
Menariknya, rata-rata netizen Indonesia tidak meluahkan rasa marah, sebaliknya menyambut tindakan itu dengan nada humor, bersikap terbuka dan bersetuju dengan mesej yang disampaikan.
Seorang pengguna YouTube meluahkan rasa tersindirnya secara berseloroh di ruangan komen:
“Terlalu menyindir. BTW terima kasih bantuan untuk Indonesia dan mohon maaf dulu sering ribut masalah rendang sama batik.”
Komen tersebut mendapat ribuan tanda suka kerana menyentuh nostalgia perselisihan faham budaya masa lalu, namun kini digantikan dengan sikap saling memahami dan bersaudara.
Malah, ada juga yang menyokong tindakan pihak Les’ Copaque memuat naik episod berkenaan kerana menyedari hakikat bahawa isu pembakaran terbuka ini memberi kesan buruk kepada semua pihak, termasuk rakyat tempatan sendiri.
“Sindir terus pakcik, kami rakyat Indonesia mendukung penuh, terima kasih!” tulis seorang lagi warganet yang mahukan kesedaran isu alam sekitar ini terus dilaungkan.
Permohonan Maaf Comel Buat Susanti
Dalam banyak-banyak respons yang ditinggalkan, antara yang paling menarik perhatian adalah komen-komen yang mengaitkan watak Susanti, iaitu sahabat baik Upin dan Ipin yang berasal dari Indonesia dalam siri animasi tersebut.
“Maafkan negara kami ya Upin Ipin, jangan benci Susanti,” seloroh seorang warganet di ruang komen.
Kreativiti dan sikap humor netizen seberang dalam mengendalikan isu sensitif ini ternyata menyejukkan suasana.
Daripada berbalah isu jerebu di media sosial, mereka memilih untuk bersetuju bahawa isu pembakaran hutan perlu ditangani segera oleh pihak berkuasa demi kesihatan bersama.
Dalam pada itu, pihak Les’ Copaque juga telah memuat naik satu video terkini animasi Upin&Ipin seumpama sambungan daripada episod berkenaan yang kebetulan memaparkan situasi sekarang yang dialami oleh rakyat Malaysia.
Asap tebal yang memenuhi ruang udara di ibu kota telah memaksa mereka melakukan misi mencari punca sebenar dan mendapati berlaku pencemaran alam sekitar termasuk pembalakan haram dan pembakaran secara terbuka.
Namun, terdapat plot twistnya, boleh tonton sendiri menerusi video di bawah.
Kesedaran Alam Sekitar Lewat Animasi
Walaupun perbualan di ruang komen dipenuhi dialog seloroh dan humor tempatan, mesej utama episod berkenaan tetap sampai kepada penonton.
Usaha memuat naik semula episod bertema alam sekitar ini membuktikan bahawa karya animasi tidak sekadar memberikan hiburan kepada kanak-kanak, malah mampu menjadi cermin sosial serta saluran menyampaikan kesedaran sivik yang berkesan di peringkat serantau.