“I grew up with them!” Demikian antara komen yang kerap membanjiri ruangan komen setiap kali klip video Upin & Ipin muncul di garis masa netizen Filipina.
Walaupun berbeza bahasa dan latar belakang, siri animasi kebanggaan Malaysia ini nampaknya mempunyai “magis” tersendiri yang membuatkan peminat di Filipina merasa sangat dekat dengan watak-wataknya.
Mari kita lihat bagaimana sebuah kisah ringkas mengenai kehidupan kampung di Malaysia boleh menjadi fenomena luar biasa yang menyatukan emosi dua negara.
Menerusi satu video yang dikongsikan menerusi platform TikTok, akaun bernama @saccharine05.5 mendakwa satu informasi menarik yang mana menurutnya mungkin ramai kanak-kanak Malaysia yang tidak mengetahui akan animasi Upin&Ipin juga popular di kalangan anak-anak di Filipina.
“Kanak-kanak di Malaysia malah tidak mengetahui kanak-kanak di Filipina turut membesar dengan Upin&Ipin!! Dan kami sangat sayangkannya,” tertera teks pada video yang diimuat naik di mana memperlihatkan siaran animasi tersebut di layar televisyen mereka.
Dalam masa sama, dia mengungkapkan ucapan ikonik yang ada di dalam siri tersebutu iaitu “ooh selamat pagi cikgu” di dalam ruangan kapsyen menandakan dia memang mengikuti siri animasi Upin&Ipin berkenaan.
@saccharine05.5 OHH VERY GOOD MORNING TEACHAA!!~~ I love this show so much!!❤️ #upinipin #upinipinofficial #filipino #malaysiatiktok #fyp
Perkongsian video berdurasi 10 saat itu sudah cukup mencuri perhatian ramai apabila berjaya meraih angka tontonan mencecah lebih 600,000 dan dihujani sejumlah komentar dari netizen Malaysia dan Indonesia juga.
Ramai meluahkan rasa terkejut mengetahui akan informasi menarik itu kerana selama ini sangkaan ia hanya popular sekadar di negara jiran seperti Indonesia sahaja kerana mempunyai persamaan bahasa yang membolehkan mereka memahami akan animasi tersebut.
Menariknya, tambah seorang netizen Filipina yang mengatakan ada sebahagian mereka turut menonton animasi popular dari Malaysia termasuk Ejen Ali dan Boboiboy.
Dalam pada itu, ramai rakyat Malaysia mengimbau kembali bagaimana mereka turut membesar dengan siri drama dari Filipina seperti Pangako Sayo, Marimar dan Super inggo.
Selain itu, ada yang merasa bangga dengan pencapaian animasi Malaysia yang sebenarnya sudah berjaya menembusi disamping menjadi sebutan pelbagai lapisan negara.