Penyanyi popular Indonesia, Lyodra, mendedahkan bahawa Upin & Ipin ialah rancangan kartun yang mesti ditontonnya ketika kanak-kanak, terutamanya selepas pulang dari sekolah.
Memetik Oh Bulan, Penyanyi bernama penuh Lyodra Margareta Ginting, 22, mengakui bahawa sebahagian besar penguasaan bahasa Melayunya adalah hasil daripada menonton siri animasi tersebut.
“Saya merupakan peminat upin ipin dan sangat suka menonton cerita animasi itu sejak kecil jadi mungkin sebab itu saya dah boleh berbahasa Melayu.
Saya akan tonton setiap kali pulang dari sekolah, balik sahaja pasti nak tonton cerita itu dulu. Saya memang tonton yang versi original Malaysia.
Boleh dipanggil sebagai animasi childhood saya. Setiap kali saya dengar orang sebut pasal Malaysia, dalam fikiran saya terus kata Upin Ipin.”
Kenyataan Lyodra itu dibuat ketika beliau ditemui pada sidang media Konsert Healing 2026 di Hotel St. Regis, Kuala Lumpur pada Selasa. Pelantun ‘Pesan Terakhir’ itu turut menyifatkan siri Upin & Ipin sebagai tontonan wajib harian yang ditonton secara meluas oleh remaja yang membesar pada tahun 2000-an.
“Saya sukakan animasi itu sebab saya rasa karakter mereka berdua itu lucu dan comel. Upin dan Ipin bersama teman-temannya.
Rasanya animasi itu juga adalah tontonan mereka yang sebaya saya, mungkin budak budak zaman sekarang kurang mengenali mereka.
Cuma bagi kanak kanak sezaman saya, tahun 2000-an, animasi itu merupakan tonton kami.”