Nama Dicky Yau kini menjadi sebutan media sosial selepas tular video meruntun hati masyarakat beberapa hari lalu.
Dikenali sebagai seorang bapa tunggal yang tabah sanggup merantau dari Sabah ke Kuala Lumpur untuk mencari rezeki dan kini seluruh rakyat Malaysia turut menunjukkan sifat empati dengan memberi sokongan moral.
Terbaharu, sejumlah individu mengambil inisiatif untuk mengunjungi tempat kerja Dicky Yau di sebuah restoran makanan yang bertempat di KL East Mall dan bertemu dengan tuan badan sendiri.
Ramai datang bersama keluarga serta berinteraksi bersama beliau di samping menikmati pelbagai menu yang ditawarkan di restoran Galah Gala.
Sambil beramah mesra, ada individu yang turut sudi berkongsi rezeki dengan memberikan sampul berisi wang kepadanya.
Secara tidak langsung, restoran Galah Gala semakin meningkat popularitinya susulan kehadiran sosok figura bertuah berkenaan.
Orang ramai datang memberi sokongan moral dan merakam detik manis dapat menemui insan bergelar ayah yang bertungkus lumus mahu memberikan servis terbaik kepada pelanggannya.
@mikev8973
Menariknya, ramai lagi individu yang meluahkan hajat ingin mengunjungi restoran itu dalam masa terdekat dek kerana semangat muhibah dan tersentuh dengan kisah insiden Dicky Yau bersama individu yang bantu sewaktu motornya rosak.
Dalam pada itu, pihak pengurusan sempat menitipkan ucapan penghargaan ke atas segala sokongan yang diberikan oleh orang ramai terhadap pekerjanya itu dan tidak lupa juga kepada @minyakhitam jalanan yang sudi memberi bantuan dikala Dicky dalam kesusahan.

“Ramai yang kata mereka nak datang untuk menyokong staff kami, Dicky — kami benar-benar terharu.Dia seorang yang sangat rajin dan sentiasa bekerja keras setiap hari.
“Terima kasih kepada abang @minyakhitamjalanan kerana membantu Dicky pada saat paling diperlukan.
“Kalau anda datang, kami akan pastikan setiap hidangan disediakan sebaik mungkin, penuh teliti dan dari hati.
Setiap sokongan yang anda beri, kami akan sampaikan kepada Dicky,” tulisnya di laman akaun Facebook rasmi.