Ivory Coast bangkit daripada ketinggalan untuk menjuarai saingan Piala Negara Afrika (AFCON) 2023 setelah berjaya menundukkan Nigeria 2-1 pada aksi yang berlangsung di Alassane Ouattara Stadium, Abidjan awal pagi tadi.
Kemenangan penuh makna dihadapan puluhan ribu penyokong sendiri itu menghadiahkan kejuaraan ketiga buat negara yang cukup sinonim dengan legenda hidup, Didier Drogba itu.
Baca Juga:
- 5 Pemain Bola Sepak Professional Yang Menyarung Pakaian Tradisional Di Majlis Anugerah Antarabangsa
- Senarai Lengkap Juara Piala Asia Sejak Edisi Pertama
- Ini Jumlah Wang Bakal Diterima Semua Negara Yang Beraksi Di Piala Asia 2023
Tuan rumah mendapat peluang terbaik pada minit ke-21 menerusi Max Gradel tetapi percubaan akrobatiknya ketika situasi sepakan sudut hanya singgah di tepi jaring gol.
Pemain muda Ivory Coast, Simon Adingra pula menguji gawang Nigeria pada minit ke-34, namun percubaannya dalam kawasan penalti diselamatkan penjaga gol Nigeria, Stanley Nwabali.
Ketika anak buah Emerse Faé dilihat cukup garang mengasak, Nigeria terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi William Troost-Ekong pada minit ke-38.
Jaringan tersebut terhasil selepas tandukan ketua pasukan Nigeria itu ketika situasi sepakan penjuru tidak mampu diselamatkan penjaga gol, Yahia Fofana.
Memasuki babak kedua, Ivory Coast tampil lebih garang untuk mendapatkan jaringan penyamaan dan usaha mereka membuahkan hasil pada minit ke-62.
Berpunca daripada sepakan penjuru oleh Adingra, Franck Kessie yang tidak dikawal pertahanan Nigeria melakukan tandukan bagi membolosi gawang Nwabali.
Adingra sekali lagi menjadi masalah buat pertahanan lawan apabila hantaran lintangnya dikuis masuk penyerang yang bangkit daripada penyakit kanser iaitu Sebastien Haller untuk menghadiahkan gol kemenangan buat Ivory Coast pada minit ke-81.
Jentera pertahanan Ivory Coast kental bertahan untuk memastikan kejuaraan edisi 2023 menjadi milik mereka.
Sementara itu, tempat ketiga menjadi milik Afrika Selatan yang menundukkan Republik Demokratik Congo hasil kemenangan menerusi penentuan sepakan penalti 6-5.
Aksi cemerlang William Troost-Ekong sepanjang kejohanan menyaksikan beliau dinobatkan selaku Pemain Terbaik Kejohanan manakala Pemain Terbaik Perlawanan Akhir dimenang Simon Adingra.
Pemenang kasut emas menjadi milik penyerang Equatorial Guinea, Emilio Nsue Lopez dengan lima gol dihasilkannya. Ronwen Williams dari Afrika Selantan pula dipilih sebagai Penjaga Gol Terbaik.