Atlantis Automobili Sdn. Bhd., syarikat bersekutu Atlantis Motor Group, telah dilantik secara rasmi sebagai pengimport dan pengedar rasmi kenderaan jenama Maserati di Malaysia berkuat kuasa 19 Mei 2026.

Pelantikan ini menandakan satu mercu tanda penting bagi jenama kenderaan mewah ikonik dari Itali tersebut di pasaran tempatan, sekali gus memperkukuh komitmen berterusan Maserati dalam menyampaikan perkhidmatan terbaik buat para pelanggannya.

Pengurusan Operasi dan Jaminan Sokongan

Atlantis Automobili bakal menggalas tanggungjawab penuh ke atas keseluruhan operasi Maserati di Malaysia, merangkumi jualan, perkhidmatan lepas jualan, pengalaman pelanggan, pembangunan jenama serta operasi rangkaian.

Proses peralihan ini telah dirancang rapi bagi memastikan kelangsungan perkhidmatan tanpa gangguan. Keutamaan diberikan kepada sokongan berterusan serta jaminan keselesaan buat semua pemilik kenderaan Maserati sedia ada.

“Memulakan babak baharu Maserati di Malaysia, komitmen utama kami adalah terhadap para pelanggan dan pemilik kenderaan. Maserati merupakan jenama yang dibina atas warisan, pertukangan berprestij dan keghairahan.

“Fokus serta-merta kami adalah untuk memastikan pengalaman pemilikan yang lancar di samping memperkukuh asas jenama ini untuk jangka panjang,” kata Pengarah Eksekutif Atlantis Automobili Sdn. Bhd., Dato’ Douglas Cheng Heng Lee.

Sementara Ketua Maserati Asia Pasifik (APAC), Julie Taieb-Doutriaux turut menambah bahawa pelantikan Atlantis Automobili mengukuhkan lagi kehadiran serta komitmen jangka panjang jenama tersebut di rantau ini.

Sebagai sebahagian daripada Atlantis Motor Group — kumpulan automotif serantau yang berpengalaman luas — Atlantis Automobili bakal melaksana beberapa pelaburan strategik termasuk penambahbaikan kemudahan, pengenalan portfolio produk baharu dan inisiatif khas pelanggan tidak lama lagi.

Maklumat Perhubungan & Lokasi Sementara

Pemilik dan pelanggan yang memerlukan bantuan atau maklumat lanjut boleh menghubungi Maserati Malaysia menerusi saluran berikut:

Talian Khidmat Pelanggan: +603 2110 2660

E-mel Khidmat Pelanggan: [email protected]

Laman Web Rasmi: maserati.com/my/

Pusat Jualan & Perkhidmatan Sementara:

RS-G-02, Rhapsody Square, TREC 438, Jalan Tun Razak, 50400 Kuala Lumpur

Pusat Perkhidmatan Lepas Jualan Sementara:

No. 30, Jalan Pengacara U1/48, Kawasan Perindustrian Temasya, 40150 Shah Alam, Selangor