Naza Italia Sdn Bhd telah secara rasmi memaklumkan kepada Maserati SpA mengenai niatnya untuk menamatkan perjanjian pengimportan dan pengedaran kenderaan Maserati di Malaysia.
Menurut Naza Italia, notis berkenaan diserahkan selaras dengan keperluan kontrak 180 hari yang termaktub dalam perjanjian tersebut, yang ditandatangani pada 1 Januari 2009, petik New Straits Times.
Baca Juga:
“Ketika Kumpulan Naza Automotive bersiap sedia untuk peralihan ini, Naza Italia tetap komited untuk memastikan kelangsungan dan proses yang lancar sepanjang tempoh 180 hari, selaras dengan tanggungjawab yang digariskan dalam perjanjian.
“Syarikat terus mengekalkan tahap profesionalisme, ketelusan, dan integriti yang telah lama menjadi panduan operasi kami,” menurut kenyataan syarikat itu.
Memetik laporan itu lagi, Naza Italia menyatakan bahawa penamatan pengedaran Maserati adalah sebahagian daripada strategi lebih luas Naza Auto untuk menumpukan perhatian kepada jenama teras dan kawasan pertumbuhan baharu.
Ini termasuk pengembangan rangkaian Suzuki Cars Malaysia, pelancaran pengalaman runcit prestasi-luxury Stars@Mercedes-Benz di Bangsar, serta peningkatan perkhidmatan pelanggan.
Syarikat juga sedang melabur dalam platform digital dan meneroka jenama automotif baharu, termasuk kenderaan elektrik dan peluang serantau di ASEAN.
“Dengan strategi yang diperbaharui dan hala tuju yang jelas, Kumpulan Naza Automotive berada pada kedudukan yang baik untuk memimpin era pertumbuhan seterusnya, berasaskan kecemerlangan operasi, tadbir urus yang kukuh, serta komitmen untuk memberikan nilai berpanjangan kepada pelanggan, rakan kongsi dan pihak berkepentingan,” katanya.
Pada tahun 2023 lalu, Naza Italia menamatkan kerjasama dengan Ferrari. Penamatan itu ekoran ketidakserasian strategi kedua-dua pihak berkenaan.
