Atlet kayak negara yang juga seorang penuntut Politeknik Ibrahim Sultan (PIS), cedera parah dipercayai dilanggar dan dirempuh seorang pemandu mabuk di Lebuh Raya Penyuraian Timur (EDL) menuju ke Southkey, pada Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat mengesahkan kejadian yang berlaku itu, lapor Kosmo.
Manakala dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Persatuan Pelajar Jabatan Kejuruteraan Mekanikal PIS, Siti Nurul Masyitah Md. Elias, 22, merupakan penuntut semester enam jurusan Diploma Kejuruteraan Mekanikal.
“Menurut saksi dan rakaman, sebuah kereta yang disyaki memandu dalam keadaan terhuyung-hayang telah melanggar mangsa dan diseret sejauh lebih kurang 600 meter dan kini mangsa dirawat di Hospital Columbia Asia kerana mengalami kecederaan yang sangat serius.
“Mangsa sering berulang-alik dari Politeknik Ibrahim Sultan ke rumah bagi menjaga ibu bapanya yang sakit,”menurut kenyataan itu.
Difahamkan ibu mangsa mempunyai masalah tulang belakang akibat kemalangan manakala bapa mangsa tidak sihat dan perlukan rawatan dialisis.
Dalam pada itu beberapa gambar ketika kemalangan yang tular di media sosial, ada menunjukkan gambar seorang lelaki yang didakwa sebagai suspek tersenyum membuat isyarat ‘peace‘.