Pierre-Emerick Aubameyang akhirnya membuat keputusan untuk tidak lagi meneruskan tugas bersama pasukan kebangsaan Gabon selepas merasakan dirinya telah dipermalukan dan dijatuhkan maruah oleh pihak tertentu.
Penyerang berusia 37 tahun itu mengumumkan keputusannya pada 2 September 2026, selepas beberapa bulan hubungannya dengan skuad kebangsaan Gabon berada dalam keadaan tegang susulan kempen Piala Negara-Negara Afrika 2025.
Apa yang paling mengecewakan Aubameyang ialah dia mendakwa tetap memilih untuk turun beraksi di kejohanan tersebut walaupun belum berada pada tahap kecergasan terbaik.
Namun selepas Gabon tersingkir di peringkat kumpulan, namanya pula dikaitkan dengan kegagalan pasukan.
Gabon tewas dalam ketiga-tiga perlawanan peringkat kumpulan sebelum kerajaan negara itu mengambil tindakan drastik dengan menggantung skuad kebangsaan, melakukan rombakan besar dalam pasukan dan mengetepikan beberapa pemain berpengalaman termasuk Aubameyang serta Bruno Ecuele Manga.
Bagi Aubameyang, tindakan itu menjadi kemuncak kepada kekecewaannya. Dia merasakan pengorbanannya untuk Gabon tidak dihargai.
Dan setiap kali Gabon gagal untuk memuaskan hati penyokong, dia akan menjadi nama pertama diserang oleh pelbagai pihak.
Sedangkan kualiti Gabon itu sendiri jauh nak dibandingkan dengan negara-negara Afrika yang lain. Aubameyang sudah melakukan yang terbaik untuk memikul Gabon di bahunya selama ini.
“Saya rasa mereka benar-benar memalukan saya dan menjatuhkan nama saya, sedangkan saya datang dan bermain di AFCON ketika masih mengalami kecederaan,” kata Aubameyang dalam temu bual bersama Canal+ Afrique.
Menurut Aubameyang, apa yang berlaku selepas kejohanan itu menjadi titik terakhir buat dirinya.
Dia tidak lagi mahu meneruskan hubungan dengan skuad kebangsaan selepas merasakan dirinya dipersalahkan atas masalah yang jauh lebih besar daripada seorang pemain.
“Saya sudah cuba memberikan segala-galanya untuk pasukan. Tetapi apa yang berlaku selepas itu membuatkan saya merasakan sudah tiba masanya untuk saya berhenti di sini.”
Aubameyang turut memberi gambaran bahawa masalah dalam bola sepak Gabon bukan berpunca daripada dirinya seorang.
“Bagi saya, masalah yang berlaku dalam pasukan ini sebenarnya jauh lebih besar daripada diri saya.”
Keputusan itu cukup pahit kerana Aubameyang sebenarnya mempunyai hubungan yang sangat kuat dengan Gabon.
Dia dilahirkan di Perancis dan membesar di sana. Dalam karier mudanya, dia pernah mempunyai peluang untuk mewakili Perancis, malah pernah beraksi untuk skuad Bawah 21 Tahun negara tersebut.
Dia juga mempunyai kelayakan untuk mewakili Sepanyol dan pernah dikaitkan dengan peluang untuk mewakili Itali di peringkat usia muda.
Namun ketika berada di kemuncak karier, Aubameyang memilih Gabon. Pilihan itu dibuat kerana bapanya, Pierre Aubameyang, merupakan bekas kapten pasukan kebangsaan Gabon.
Walaupun ramai mempersoalkan keputusannya dan ada yang menyindir pilihan tersebut, Aubameyang tetap dengan pendiriannya.
Dia kemudian menjadi legenda negara itu dan penjaring terbanyak sepanjang zaman Gabon. Aubameyang meledak 40 gol untuk negara dalam karier antarabangsanya.
Namun selepas hampir dua dekad memberikan khidmat kepada Gabon, hubungan itu berakhir dengan penuh kepahitan.
Aubameyang sepatutnya diraikan sebagai legenda ketika persaraannya. Namun malangnya Gabon terus menjadikannya kambing hitam.