Awal Ashaari akui dia kesal kerana menolak banyak tawaran dahulu, ketika dia berada di kemuncak kariernya.
Menurut Awal Ashaari, ketika dia masih muda, dia terlalu leka dan beranggapan bahawa waktu masih lagi panjang untuk dia mencapai sesuatu.
Awal Ashaari memberitahu mStar, jika dia berkesempatan kembali ke 10 tahun lalu: “Saya akan beritahu diri sendiri agar tidak membazir masa.
“Ini kerana dulu saya banyak buang masa. Apa sahaja peluang yang datang, saya selalu fikir, tak mengapa, boleh buat kemudian, kerana di fikiran saya ketika itu beranggapan masa masih panjang.
Antara penyesalan terbesar dalam hidupnya termasuk menangguhkan peluang untuk berlakon teater dan menangguhkan peluang untuk melanjutkan pelajaran di peringkat lebih tinggi – walaupun tawaran tawaran tersebut ada di depan matanya pada masa itu.
Semuanya kerana ketika dia muda, dia banyak mendapat tawaran menjadi watak utama atau hero dalam sesebuah drama atau filem, membuatkan dia leka.
Oleh itu dia menasihati golongan muda agar tidak membuang masa dan mengambil peluang yang ada dengan sebaiknya.
“Soal pelajaran pun, sama, dahulu ada peluang belajar lebih awalm atau sambung ke peringkat lebih tinggi, namun selalu berfikir, nanti dulu, rileks la dahulu, segalanya asyik bertangguh.
“Dan sekarang, di tahap ini, untuk sambung semula belajar, terasa janggal,” kata Awal Ashaari.