Legenda jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang meluahkan rasa kecewa terhadap Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN) yang mengambil masa sehingga dua bulan lima hari untuk memberikan keputusan berhubung khidmatnya bagi misi kelayakan ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).

Dalam penjelasan sembilan muka surat yang dikongsikan di media sosial, Azizulhasni berkata kelewatan berkenaan menyukarkan beliau merancang hala tuju karier serta persiapan menghadapi perlumbaan yang menawarkan mata kelayakan ke LA28.

“Bagi saya pihak KBS dan MSN kurang profesional dan kurang cekap sehingga perkara berlarutan seperti ini,” katanya.

Pelumba berusia 38 tahun itu pada masa sama menjelaskan bahawa beliau bukan menuntut peruntukan besar daripada kerajaan untuk meneruskan perjuangan ke LA28.

Sebaliknya, apa yang diperlukan adalah kepastian mengenai bentuk sokongan yang bakal diterima sepanjang tempoh latihan dan pertandingan.

“Saya tidak rasa permintaan itu satu perkara yang keterlaluan. Jika untuk memudahkan keadaan, saya sendiri bersedia untuk bergerak secara profesional sepenuhnya tanpa menerima geran daripada pihak KBS dan MSN. Dana tersebut boleh disalurkan kepada pelumba lain,” katanya.

Azizulhasni turut menjelaskan bahawa beliau masih mampu mendapatkan sokongan kewangan menerusi penajaan swasta seperti yang dilakukannya sejak kembali daripada persaraan.

Namun, menurutnya, sistem sokongan ketika menjalani latihan, menyertai pertandingan serta aspek pemulihan tetap penting bagi memastikan persiapannya menuju LA28 berjalan dengan lancar.

Lebih penting, beliau memerlukan kepastian itu kerana Kejohanan Dunia di Shanghai bakal menjadi antara medan penting untuk mengumpul mata kelayakan ke temasya Olimpik berkenaan.

Proses kelayakan LA28 kali ini berlangsung selama dua musim dan membabitkan Kejohanan Dunia, Kejohanan Benua serta tiga Piala Dunia pada setiap musim.

Azizulhasni berkata pungutan mata dan kedudukan ranking dunia amat penting kerana laluan ke LA28 bukan sekadar bergantung kepada pendaftaran atlet.

Bagi acara pecut individu, hanya kelompok terbaik dunia akan diberikan slot selepas mengambil kira laluan kelayakan menerusi acara pecut berpasukan.

“Saya sekarang ini berada di ranking ke-14 dunia hanya selepas setahun kembali aktif. Kedudukan saya selepas kejohanan pertama diadakan setahun selepas keluar dari persaraan adalah pada ranking ke-226 pada 8 Disember 2025. Saya percaya jika terus konsisten menyertai perlumbaan dan dengan prestasi pada musim hadapan, saya boleh berada sekurang-kurangnya pada ranking kelapan terbaik dunia dan ke atas,” katanya.

Menariknya, Azizulhasni mengakui bahawa selepas kejayaan meraih pingat emas di Sukan Komanwel Glasgow baru-baru ini, beliau sebenarnya sudah bersedia untuk menggantung basikal.

Baginya, kejayaan itu melengkapkan koleksi emas di semua temasya utama yang disertainya, kecuali Sukan Olimpik.

Namun, semangat untuk terus berbakti kepada Malaysia menyebabkan beliau masih membuka ruang untuk meneruskan kayuhan sehingga LA28.

“Ramai yang kenal personaliti saya, mereka tahu semangat patriotik saya sangat tinggi dan saya sentiasa bersedia untuk berkorban untuk negara yang tercinta. Sejak menjejakkan kaki ke program kebangsaan, kini saya sudah mewakili Malaysia selama 22 tahun dan saya tidak pernah berasa jemu,” katanya.

Justeru, Azizulhasni menegaskan persoalan utama ketika ini bukan sama ada beliau mahu meneruskan perjuangan ke LA28 atau tidak.

Sebaliknya, beliau mahu mendapatkan jawapan sama ada Malaysia masih memerlukan khidmatnya untuk merealisasikan misi ke Olimpik Los Angeles 2028.

“Saya menunggu jawapan terbuka rasmi daripada pihak KBS dan MSN,” katanya.