Datuk Azizulhasni Awang bakal menikmati penampilan kelima berturut-turut dalam Sukan Olimpik selepas beliau mengesahkan tempat untuk beraksi di Paris pada Julai dan Ogos nanti.

Seperti yang dilaporkan Bernama, Azizulhasni menjadi atlet lelaki pertama Malaysia yang beraksi di pentas sukan paling berprestij itu buat kali kelima berturut-turut.

Baca Juga:

Sebelum ini beliau berkongsi rekod empat kali penampilan bersama legenda badminton, Datuk Lee Chong Wei.

Jaguh berbasikal trek negara berusia 36 tahun itu tidak keseorangan apabila Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri turut layak bagi acara keirin dan pecut.

Sudah menjengah usia 36 tahun, Azizulhasni tidak mahu penyertaannya kali ini hanya sebagai pelengkap dan mengimpikan sesuatu yang lebih bermakna.

“Lumba basikal adalah antara sukan yang proses kelayakannya amat sukar dan rumit, ditambah pula dengan pelbagai cabaran luaran yang terpaksa diharungi sepanjang proses tersebut.”

“Setiap kitaran Sukan Olimpik mengambil masa selama empat tahun, bermaksud pembabitan saya di temasya Sukan Olimpik ini sahaja sudah 20 tahun.”

“Penampilan di temasya kali ini juga amat menarik kerana saya sudah mencecah usia 36tahun. Usia dimana rata-rata dari kita percaya yang ianya sudah lewat dan prestasi seseorang atlet itu mulai melantai.”

“Apa yang saya tonjolkan kepada mereka yang celik disini adalah ianya bukan sesuatu yang mustahil untuk kita mendustai normal.”

“Saya percaya umum tahu yang keberadaan saya di arena sukan negara bukanlah hanya untuk layak semata-mata ke temasya tersebut.”

“Dari penampilan pertama saya di Beijing 2008 lagi, objektif saya adalah tertumpu jauh lebih daripada itu. Ianya tidak pernah luntur dan saya sentiasa bekerja keras demi merealisasikan untuk negara tercinta,” ujar beliau menurut kenyataan di laman Facebook miliknya.

Datuk Azizulhasni yang turut diletakkan sandaran untuk meraih pingat emas pertama negara sebelum ini meraih gangsa di Rio 2016 (Brazil) dan empat tahun kemudiannya membawa pulang pingat Perak ketika di Tokyo.