Satu serangan hendap nekad menggunakan pelancar bom tangan (RPG) pada awal pagi Ahad di Filipina, yang mensasarkan Datuk Bandar Shariff Aguak, Akmad Ampatuan, gagal meragut nyawa beliau, namun mencederakan dua orang pengiringnya.
Tiga daripada suspek yang menaiki sebuah van putih telah terbunuh dalam operasi buruan oleh pasukan gabungan polis dan tentera.
Ini merupakan percubaan bunuh ketiga ke atas Ampatuan sejak tahun 2014, petik portal Minda News.
Land Cruiser took direct hit from RPG-7 and kept moving.
Armored Toyota Land Cruiser was struck by an RPG-7 during an ambush in Philippines. The vehicle absorbed the explosion and continued driving away, allowing the mayor to escape unharmed. pic.twitter.com/En7mLjCyFz
— Gun Lovers Club (@GunloverClub1) January 25, 2026
“Datuk Bandar berada dalam keadaan selamat,” lapor Anwar Kuit Emblawa, pembantu eksekutif Datuk Bandar, menerusi satu mesej kepada pengamal media di Bandar Cotabato.
Ampatuan, yang juga cucu kepada pimpinan terdahulu, mendiang Datu Andal Ampatuan Sr., sedang menaiki Toyota Land Cruiser hitam kalis peluru miliknya ketika dalam perjalanan pulang dari pasar.
Serangan berlaku kira-kira jam 6:30 pagi di Barangay Poblacion, hampir bertentangan dengan perkarangan dewan bandaran. Kenderaan pengiringnya, sebuah trak pikap, turut dihujani peluru.
Anak beliau, Timbalan Datuk Bandar Shariff Aguak, Hadji Oping Ampatuan, telah memuat naik rakaman CCTV kejadian tersebut di media sosial.
Rakaman memaparkan dua lelaki bersenjata keluar daripada sebuah van mini putih, di mana salah seorang daripadanya melepaskan tembakan RPG buatan sendiri ke arah kenderaan Datuk Bandar. Walau bagaimanapun, kenderaan berperisai tersebut berjaya memecut laju ke hadapan.
Memetik portal itu lagi, Emblawa menyatakan bahawa dua pengiring keselamatan; Pfc Manuel Arcega Dondiego dan Lakman Eso mengalami kecederaan ringan.
Kedua-dua telah menerima rawatan di Pusat Perubatan Wilayah Bangsamoro, Pekan Datu Hoffer akibat luka di bahagian perut.
Susulan serangan itu, operasi bersepadu telah dilancarkan oleh Polis Kebangsaan Filipina (PNP) dan Batalion Infantri ke-90 Tentera Darat Filipina.
Beberapa jam kemudian, suspek berjaya dikepung di Barangay Meta, Datu Unsay.
Dalam kejadian berbalas tembakan yang berlaku, tiga suspek telah terbunuh, dikenal pasti sebagai Budtong “Rap-Rap” Alim Pendatun, Tekz Malid Pendatun dan Puasa Oting Madid.
P/Capt. Steffi Salanguit, Jurucakap Pejabat Polis Wilayah BARMM, mengesahkan sifat taktikal serangan tersebut.
“Rakaman CCTV menunjukkan suspek keluar dari van, salah seorang daripadanya membawa RPG.
“Walaupun kenderaan mengalami kerosakan dan berasap, ia tetap terus bergerak. Anggota kami bertindak berani untuk menangkis serangan itu,” kata beliau.
Balai Polis Perbandaran Shariff Aguak dalam satu kenyataan mengecam tindakan ‘perosak keamanan’ tersebut dan mengesahkan bahawa sebuah pelancar RPG B40 serta beberapa laras raifal berkuasa tinggi telah dirampas daripada kenderaan suspek.