Iceland, Norway dan negara Skandinavia memang terkenal sebagai negara dengan kos sara hidup yang tinggi. Ini sekaligus menyebabkan kos percutian ke negara ini juga mahal.
Tapi berbeza pula dengan Bella Azemi. Keinginan mengenali dan mendekati budaya dan cara hidup masyarakat di Iceland dan Norway dengan lebih mendalam telah mendorong dia untuk mencari jalan bagaimana untuk menetap lebih lama di negara ini dengan kos lebih rendah.
Bagi graduan Bachelor in Engineering Supply Chain Management dar UniKL ini, Bella telah dapat meluangkan masa selama 35 hari di Iceland dan 55 hari di Norway. Ikuti temubual dan tips yang dapat kami cungkil daripada Bella.
Vocket: Sebelum ini Bella pernah ke Iceland, buat Ring Road trip lebih seminggu pusing Iceland. Apa yang membuat Bella ke Iceland buat kali ke 2 dan kali ini pada tempoh yang lebih lama?
Bella: Semasa saya buat ring road trip seorang diri di Iceland, ia dilakukan pada bulan Februari iaitu di musim sejuk. Jadi kali ni saya ingin cuba dan merasai pengalaman musim panas dan melihat midnight sun di Iceland.
Daripada pengalaman saya di kedua-dua musim ini, pemandangan alam semulajadi dan pengalaman travel pada setiap musim adalah sangat berbeza. Jika travel ke Iceland pada waktu sejuk, suhu sangat sejuk dan aktiviti juga sangat terhad. Berbeza pula pada musim panas di mana siang lebih panjang dan suhu tidak terlalu sejuk.
Keadaan jalan juga tidak berais di musim panas. Iceland sangat istimewa di mata saya. Kedaan geografi, keindahan lanskap dan cara hidup di sana menarik minat saya untuk merasai pengalaman hidup seperti local Icelandic.
Baca tips bagaimana Bella cari duit sampingan sambil travel di Iceland
Travel sambil belajar budaya asing
Vocket: Bella juga berpeluang tinggal bersama penduduk tempatan di Iceland dan Norway. Bagaimana Bella dapatkan peluang begini? Ada website atau tempat untuk memohon?
Bella: Sepanjang saya mengembara saya memang gemar tinggal bersama penduduk tempatan dan merasai hidup seperti mereka dan belajar tentang budaya mereka.
Ada banyak website yang boleh anda cuba seperti workaway.info, cross-cultural solutions, workingabroad, maf.org, WWOOF dan banyak lagi website yang menawarkan volunteering program yang anda boleh cuba.
Vocket: Sepanjang di Iceland, apakah yang telah dipelajari. Boleh kongsikan sikit?
Bella: Banyak sebenarnya yang saya pelajari sepanjang tinggal di Iceland. Antaranya ialah saya dapat mengenali dan mempelajari tentang budaya masyarakat Iceland. Cara kehidupan seharian Icelandic dan dapat mencuba makanan traditisional orang-orang di sana.
Vocket: Dan sepanjang di Norway apa pula yang dipelajari daripada orang tempatan di sana?
Bella: Sama seperti di Iceland juga, tapi di Norway saya menghadiri kelas bahasa. So selama 2 bulan saya di sana seminggu 2 kali saya akan pergi ke kelas bahasa Norway. Ini adalah kelas percuma, tiada bayaran dikenakan dan saya dapat ramai kawan bila menghadiri kelas ini.
Sekarang saya sudah faham dan tahu asas bahasa Norway. Insyallah saya merancang untuk pergi semula ke Norway dan lengkapkan bahasa Norway saya.
Semasa di Norway juga, saya dapat belajar cara masyarakat Sami hidup dan bagaimana orang-orang di wilayah utara utara Scandi survive. Saya juga dapat pengalaman pergi memburu rusa khutub (reeinder) dan belajar memancing ikan di sungai.
Vocket: Apakah perbezaan ketara antara Norway vs Iceland dari kacamata Bella?
Bella: Kehidupan di Iceland tidak terlalu sosial. Di Iceland tidak ada pasaraya atau pusat hiburan seperti di Norway. Penduduk di sana hidup tanpa aktiviti sosial. Cara hidup mereka seperti zaman dulu-dulu. Kebanyakan akitviti luar mereka adalah memancing, mendaki, berenang, bermain ais hoki, dan bercucuk tanam.
Berbeza pula di Norway. Di negara ini ada banyak pusat hiburan dan pusat membeli belah. Kehidupan masyaraat di sini juga lebih sosial. Di hari minggu mereka gemar ke pub, party, main bowling dan jalan-jalan di pasaraya.
Dari sudut lain,walaupun kehidupan mereka tidak terlalu sosial, penduduk Iceland lebih mesra dan ramah berbanding Norway. Di Iceland mudah untuk hitchhiking tetapi semasa di Norway agak sukar untuk melakukan hitchhiking kerana penduduk di sana tidak percaya konsep hitchhiking. Penduduk Norway juga lebih utamakan privasi.
Secara peribadi saya lebih suka cara hidup di Iceland berbanding Norway. Hidup mereka jauh dari sosial media dan kehidupan harian mereka juga sangat best.
Vocket: Apa kenangan paling best di Iceland?
Bella: Kutip berries di gunung, memancing ikan di laut, belajar main hokey ais, dapat lihat midnight sun dan dapat peluang memperkenalkan makanan Malaysia di sana.
Vocket: Bagaimana pula di Norway?
Bella: Dapat makan dan masak king crabs, memburu reeinder dan mendaki gunung setiap malam untuk tengok aurora, dapat belajar bahasa Norway dan tarian salsa.
Perkenalkan makanan Malaysia di Norway dan Iceland
Vocket: Apa yang Bella telah kongsikan tentang Malaysia sepanjang di Norway dan Iceland?
Bella: Penduduk di kedua negara ini memang tidak tahu tentang negara kita Malaysia. Jadi saya beritahu mereka di mana terletaknya Malaysia dan budaya masyarakat Malaysia.
Yang paling best dan saya suka adalah memperkenalkan makanan Malaysia di sana. Rata-rata mereka sangat teruja untuk mencuba dan sangat suka dengan makanan Malaysia seperi sate, kari ayam, mee goring dan asam pedas.
Vocket: Pasti ramai yang nak tahu, bagaimana bella survive di kedua negara ini dari segi makan. Dalan erti kata lain isu makanan halal.
Bella: Di Norway tidak sukar untuk mencari makanan halal kerana di bandar Tromso terdapat supermarket halal. Jadi agak mudah untuk saya dapatkan bekalan makanan. Selalunya saya akan makan ikan dan makanan laut.
Tapi berbeza di Iceland. Kedai halal agak sukar ditemui di negara ini. Boleh dikatakan memang tidak ada kedai halal di sana. Apa yang saya makan semasa di sana adalah makanan laut dan ikan.
Iceland memang terkenal dengan keenakan ikannya. Jadi tiada masalah sebenarnya jika kita pandai menyesuaikan diri. Masyarakat Iceland sendiri gemar makan ikan. Jadi di kebanyakan masa memang makan ikan. Hidangan ikan dan ubi kentang Iceland sangat sedap.
Vocket: Apakah perkara positif terhadap diri yang bella rasai daripada pengalaman di kedua-dua negara ini.
Bella: Saya lebih berani dan jadi seorang yang multi-tasking. Sebelum ini saya tidak tahu macam mana nak memancing ikan, memburu, bercucuk tanam dan menternak binatang. Selepas ke Iceland skill survive saya semakin tinggi dan saya boleh hidup tanpa hiburan dan media sosial.
Vocket: Apa perancangan Bella selepas ini?
Bella: Buat masa sekarang saya sedang fokus kepada projek saya bersama team Awesome Adventure dan pada masa yang sama saya akan terokai tempat-tempat yang saya masih belum sampai seperti Canada dan USA. Perancangannya pada tahun ini.
Vocket: Pesanan kepada pembaca Vocket
Bella: Jangan pernah berhenti berangan kerana dari angan-angan akan jadi impian. Dan dari impian akan jadi kenyataan.
Saya sangat syorkan anda cuba travel ke Iceland dan Norway dan hidup bersama penduduk tempatan selama sebulan. Anda tidak akan menyesal dan banyak yang akan dipelajari tentang kehidupan sepanjang di sana.
Dan nasihat saya juga, jangan terlalu kejar untuk mengira negara. Dalami, hayati dan kenali budaya sesebuah negara kerana pengalaman begini sangat berharga dan tidak dapat dijual beli. Semoga perkongsian saya ini dapat menyuntik semangat anda semua untuk travel ke Iceland dan Norway.
Vocket: Info lain yang nak dikongsikan. Jika ada.
Bella: Bagi yang berminat untuk join saya ke Iceland dan Norway boleh hubungi saya. Atau jika ingin tahu tips-tips tentang Iceland dan Norway boleh juga tanya saya. Insyallah saya akan kongsikan.
Buat anda yang ingin bertanya lebih lanjut tentang Iceland dan Norway, atau ingin mengikuti perkembangan terkini kembara Bella, boleh ikut di Instagram Bella.
Baca lagi: Bagaimana Saya Dapat Travel Ke Luar Negara Melalui Jalan ‘Sukarelawan’