Januari tahun 2017 adalah tahun pertama saya berkhidmat di sekolah baru. Tiap-tiap pagi sekitar jam 6:50 – 7:00 pagi saya pasti akan terserempak dengan satu keluarga yang mengajar saya erti cekal dan bersyukur.
Ayah memandu motosikal roda tiga, anak kecil perempuan membonceng di belakang dan anak lelaki yang besar duduk di dalam kotak barang. Kali pertama saya lihat anaknya tersengguk-sengguk mengantuk.
Dalam hati terlintas “Ya Allah, cekalnya hati dia. Kena bangun awal. Walaupun terpaksa bersejuk panas, tetap mahu ke sekolah. Allah bless you anak-anak”. Sebak. Dan saya terfikir, di mana agaknya anak-anak beliau bersekolah.
Yang perempuan kelihatan masih kecil mungkin darjah satu, biasanya membonceng dan memeluk erat ayahnya dari belakang. Beberapa hari kemudian, musim hujan melanda. Setiap pagi hujan. Pernah saya merungut dalam hati “lecehnya nak turun dari parking, habislah basah ni” memandangkan parkir sekolah yang tidak berbumbung.
Tapi, pagi itu Allah buka mata saya, hati saya untuk belajar erti bersyukur. Saya sekali lagi terserempak dengan keluarga yang berhati cekal tempoh hari. Tapi pagi itu tidak kelihatan anak-anaknya. “Mesti tak pergi sekolah ni, hujan”.
Namun, sangkaan saya meleset. Kanvas yang menutupi ruang barang bergerak-gerak. Seperti ada benda yang hidup dan bergerak di bawahnya. Seketika saya lihat ayahnya menyelak kanvas dan berkata sesuatu.
Subhanallah, betul jangkaan saya. Anak-anak kecil itu ditutup dengan kanvas kerana hujan. Tertampar rasa diri sendiri. Betapa tidak bersyukurnya aku dengan nikmat tuhan. Astarafirullahalazim. Saya memilih untuk mengikut motor mereka dari belakang untuk beberapa minit. Saya perhatikan mereka. Kanvas itu bergerak-gerak. Syahdu Ya Allah.
Suatu hari, saya bercakap dengan pak cik saya yang kebetulan menghantar sepupu saya ke sekolah melalui laluan yang sama. Tapi, selalunya dia bergerak lebih awal daripada saya.
“Ayah Di pernah jumpa orang lelaki hantar dua anak ke sekolah pagi pagi naik motor coley tu?”
“Eh biasa tengok. Biasa dia lalu 6:30 / 6:40 depan rumah kita. Jauh tu dia bawak pagi-pagi. Kalau tak silap rumah dekat dengan Kampung Gerai nuh. Ayah dia jual ikan di pasar. Sekolah Ah rasanya anak-anak dia”.
2 minggu berlalu, saat banjir melimpahi bumi Besut, saya tak nampak kelibat seorang anak murid saya dalam kelas.
“Lamanya kawan awak cuti ni. Kenapa ye? Siapa tahu?”
“Rumah dia banjir lah teacher. Tahun lepas pun macam tu. Lama dia cuti”.
“Oh yeke? Kat mana rumahnya?”
“Jauh rumah dia. On the way ke Jabi nuh teacher. Dio mari skoloh awal sokmo”.
Saat ini hati saya berdebar debar. Ya Allah adakah orang yang sama yang pak cik saya maksudkan? Yang saya nampak setiap pagi berhujan panas tu rupanya anak murid saya! Baru saya teringat perbualan saya dengan dia waktu awal persekolahan dulu.
“Kenapa asyik buat dalam kertas?Hari-hari teacher pesan beli buku”.
“Tak beli lagi, teacher”.
“Penat la macam ni dah 5 hari sekolah buku tak beli lagi. Hari-hari salin dalam kertas. Lepas tu hilang. Apa masalah awak sebenarnya?”
Dia tunduk.
“Dio ore sesok teacher” laung kawan- kawan satu kelas.
Tersentak. Saya pandang dia.
“Teacher mintak maaf, teacher tak tanya awak dulu. Ayah kerja apa?”
“Jual ikan”
“Mak?”
“Tak kerja”
“Macam ni. Lagi 10 minit waktu rehat, ambil ni RM20, beli semua buku tulis yang perlu”.
Mukanya merah, mungkin menahan malu. “Thank you, teacher”.
“You are welcome”.
Saya salahkan diri sendiri kerana tidak mengambil ruang untuk bertanya hal sebenar. Saya dah jatuhkan air mukanya. Sorry sayang teacher tak sengaja.
Selepas rehat dia datang berteman, cari saya di bilik guru. “Teacher, duit baki”.
“Takpe, rezeki awak. Ambiklah buat belanja”.
Mukanya merah padam. Teragak-agak nak mengambil duit.
“Ambil ye. Dah pegi masuk kelas”.
“Terima kasih, teacher”.
Dia mungkin dilahirkan kurang bernasib baik kerana hidup tidak semewah orang lain. Tapi jujur saya katakan, saya sebagai seorang guru sangat senang dengan perwatakannya. Baik, pendiam, hormat guru, tulisannya MashaAllah sangat cantik! Bukunya bersih.
Walaupun lazimnya buku murid lelaki tidak seelok dan sekemas murid perempuan, tapi anak murid saya ni sungguh cermat. Teringat waktu cuti sekolah saya ada membeli ikan di gerai ayahnya. Kebetulan baru balik daftar murid di sekolah.
“ Cikgu, nak beli ikan? Ke ayam? “
Mungkin dia lihat tag nama saya, dia tahu saya seorang guru.
“Saya nak ayam seekor dan ikan kembung sekilo”
Sambil ayahnya memotong ayam, saya memulakan perbualan.
“Mohd buat apa kat rumah cuti sekolah?”
“Cikgu kenal anak saya? Cikgu ajar dia ke?”
“Ye, saya ajar dia tahun ni. Tahun depan tak pastilah”.
“Dia duduk rumah, main dengan adik. Sebelum cuti saya tak bagi sangat dia tengok tv, buat kerja sekolah ke baca buku. Waktu cuti ni kesian juga nak sekat dia, saya bagi dia tengok tv”.
“Oh, yelah cuti baru je start. Tahun depan dia UPSR dah. Bagilah tengok tv puas puas dulu”.
“Itulah. Nak periksa ni pun saya terfikir pasal kelas malam, macamana la nak datang nanti. Saya memang tak ada kereta. Kelas petang takpe boleh tunggu.”
Saya terkedu. Tak tahu nak membas bicara. Kebetulan ayam dan ikan siap dibungkus, saya minta diri.
Teringat juga satu insiden saya terlihat butang bajunya tercabut.
“Kenapa butang tu?”
“Tercabut teacher.”
“Kejap lagi jumpa teacher kat bilik guru. Terus ikut ye habis kelas.”
Dia mengangguk. Kebetulan ada pin lebih, saya semat di bajunya. Tersenyum lebar tapi riaknya malu terhutang budi.
Ada juga pernah sekali balik dari sekolah suami saya jemput dan kami nak ke bandar membeli barang. Tiba-tiba saya lihat tiga beranak ni di tepi jalan. Terus saya jerit pada suami.
“Berhenti, berhenti. Anak murid saya tu!”
Saya dan suami turun bertanya khabar bimbang motornya rosak. Anak murid saya terkejut tengok teacher dia yang turun.
“Tak rosak pun cuma anak saya nak buang air kecil”.
Lega rasanya. Anak-anaknya melambai saat kereta saya bergerak pergi.
Tidaklah tujuan cerita ini untuk meminta simpati sesiapa. Mereka adik-beradik tidak dinafikan sebarang bantuan. Alhamdulillah segala bantuan disalurkan dengan baik. Malah ramai guru-guru yang prihatin dengan mereka.
Tiada tujuan lain hanyalah untuk dijadikan pengajaran dan iktibar serta contoh bahawa ada orang yang dilahirkan kurang harta, tetapi kaya jiwanya dengan kesyukuran.
Banyak pengalaman saya melihat anak orang yang senang, dihantar dijemput ke sekolah dengan kereta mewah berhawa dingin tetapi selalu ponteng sekolah.
Kedatangan tidak memuaskan, bicara biadap dengan guru-guru, kerja sekolah tak pernah siapkan, bermasalah disiplin dan macam macam lagi.
Ibu bapa mereka bukan orang biasa biasa; kontraktor, doktor, guru, pengurus dan lain lain. Sungguh, cekal tidak memilih penghuni jiwa yang miskin atau kaya. Siapa berkehendak, Allah kurniakan.
“Ya Allah, kurniakanlah kami guru-guru kesabaran dan kecekalan supaya kami tidak mendidik generasi yang kufur nikmatMu Ya Allah”.
Coretan
Teacher Najihah Rahman
20/1/2018
Sedikit nota untuk semua pembaca, saya sedang berkolaborasi dengan sebuah jenama minuman bertenaga milik Bumiputera, Kwench Energy Drink Malaysia dalam aspek kebajikan anak-anak murid saya.
Pengasas minuman ini berbesar hati dan bersetuju untuk mendermakan RM0.20 bagi setiap pembelian air ini bagi tujuan pembelian alat tulis, kamus, buku latihan dan lain lain lagi. Sudilah kiranya untuk sama-sama like page Kwench Energy Drink Malaysia di Facebook.