Satu penemuan tular di media sosial baru-baru ini telah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pengguna tempatan berikutan dakwaan penemuan ramuan berasaskan khinzir pada bungkusan asal sebuah produk keropok import, meskipun maklumat tersebut tidak dinyatakan pada label pelekat tambahan yang ditampal di atasnya.

Isu ini mula mendapat perhatian meluas apabila seorang wanita mendedahkan terdapat percanggahan maklumat antara kandungan asal yang dicetak pada bungkusan (bahasa sumber) dengan terjemahan bahasa Inggeris yang dilekatkan secara berasingan.

Difahamkan, individu berkenaan telah membeli keropok yang diimport dari Korea Selatan di sebuah rangkaian farmasi tempatan.

Menurut dakwaannya, produk tersebut kelihatan “sihat” pada pandangan mata kasar, namun dipercayai tidak mempunyai sebarang tanda halal daripada badan yang diiktiraf pada bungkusan asal.

Rutin Semakan Bongkar Percanggahan

Bagaimanapun, rakannya yang kebetulan dari luar negara mempunyai rutin untuk menyemak setiap kandungan makanan yang dibelinya memandangkan sukar mendapatkan produk dengan pengesahan tanda halal di negara yang didiami.

“Kenapa tiada sebut perkataan “khinzir” pada label kandungan dalam bahasa Inggeris tetapi ada frasa “khinzir” di dalam kandungan asal dalam bahasa Korea Selatan,” soalnya.

Sebaik dibuka pelekat label kandungan yang diterjemah ke dalam bahasa Inggeris, alangkah terkejut buat diri mereka mendapati terdapat pencanggahan informasi yang serius selepas diterjemah kandungan asal dalam bahasa Korea Selatan dengan menggunakan Google Lens.

Dakwaan Manipulasi Maklumat

Tindakan “menutup” maklumat asal tersebut didakwa sebagai satu bentuk manipulasi maklumat yang bukan sahaja mengelirukan, malah menyentuh sensitiviti agama dan hak pengguna untuk mendapatkan fakta yang tepat sebelum melakukan pembelian.

Dakwanya lagi, dia membeli keropok yang diimport dari Korea Selatan yang dijual oleh rangkaian tersebut kerana yakin dipercayai secara dasarnya.

Dia dan rakan bahkan telah menyemak beberapa kali label terjemahan kandungan bahasa Inggeris tersebut untuk kepastian dan ternyata tiada menyebut bahan khinzir sama sekali.

Pelekat label tersebut didakwa sangat sukar ditanggalkan, sekaligus menimbulkan syak wasangka bahawa ia sengaja dilakukan bagi menghalang pengguna menyemak kandungan asal pada bungkusan.

Malah, pemeriksaan ke atas beberapa produk lain turut mendapati terdapat amaran tentang penggunaan kilang yang sama (cross-contamination) dengan produk berasaskan bahan haram, namun maklumat tersebut didakwa tidak dinyatakan secara jelas pada pelekat terjemahan.

Dan sekali lagi dia maklumkan bahan khinzir atau tidak dipastikan bahan sebenar yang syubhah masih tidak dilabelkan pada pelekat terjamahan bahasa Inggeris sedangkan di bungkusan asal tertera dengan jelas.

Dia berpandangan bahawa perkara ini berkemungkinan melanggar undang-undang perihal dagangan di negara ini kerana dianggap mengelirukan orang ramai melalui label yang berbeza daripada kandungan asal.

@liafa62

For Education Purposes Only . THIS IS ILLEGALβ€” and just plain wrong 😭😭😭 . @guardian Malaysia @올리브영 OLIVE YOUNG do better please 😞😞😞 lowkey paranoid of all your products now 😭 . . . #illegal #halal #nonhalal #guardian #oliveyoung

♬ A tense suspense piece on the piano(1270072) – illmatic studio

Kejadian ini menimbulkan kegusaran orang ramai terhadap tahap pemantauan terhadap produk makanan import yang memasuki pasaran tempatan, terutamanya yang melibatkan integriti status halal dan ketepatan label ramuan mengikut piawaian pihak berkuasa.

Sebagai peringatan, sentiasa gunakan aplikasi seperti ‘Verify Halal’ atau semak senarai badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf oleh JAKIM sebelum membeli produk import.