Walaupun arena kripto sudah jarang didengari, masih wujud individu yang masih melakukan perlombongan kriptowang dengan harapan bakal menuai hasil lumayan apabila pasaran meningkat.

Memetik Amanz, seorang tuan rumah di Ipoh terpaksa menanggung bil mencecah RM1.1 juta akibat daripada tindakan penyewa menggunakan premis mereka untuk melakukan perlombongan kripto secara haram.

Menerusi hantaran di Facebook pada hari Ahad lalu, pemilik premis telah melampirkan notis tuntutan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang meminta jumlah ini dibayar dalam masa 14 hari selepas ia diterima sekiranya tidak ingin dikenakan tindakan undang-undang.

Sumber Gambar: FB

Pemilik premis berjaya menemukan operasi perlombongan kripto di sebuah premis komersial milik beliau kemudian segera melaporkannya kepada pihak berkuasa.

Namun begitu, beliau terkejut kerana perlu membayar bil melampau disebabkan operasi haram penyewa berkenaan.

Lebih mengejutkan, bil tertunggak sebesar terkumpul dalam tempoh kurang dari dua bulan oleh si penyewa terbabit.

Di Malaysia, tuan rumah menanggung liabiliti sekiranya penyewa tidak melangsaikan bayaran bil utiliti melainkan ada persetujuan seperti kontrak yang meletakkan bil bulanan tertakluk pada penyewa sebelum itu.