Seiring dengan teknologi semasa, Malaysia kini menjadi negara pertama di dunia menawarkan bayaran zakat menggunakan aset digital.
Menurut Pegawai Eksekutif Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), Datuk Abdul Hakim Amir Osman berkata, ini antara inisiatif untuk membimbing umat Islam tentang tanggungjawab zakat dalam era teknologi ‘blockchain’ dan mata wang kripto lapor Buletin TV3.
Revolusi yang diasaskan oleh PPZ-MAIWP ini juga antara inisiatif terbaharu untuk memudahkan pembayaran zakat secara lebih efisien.
Ini memandangkan nilai aset digital yang dimiliki rakyat Malaysia dilaporkan mencecah RM16 bilion dan ia wajib dizakatkan.
Tambahnya, Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan kali ke-134 lalu turut memutuskan mata wang digital adalah komoditi yang diniagakan dengan zakat perniagaan dikeluarkan pada kadar 2.5 peratus.
“Transformasi dalam pelaksanaan ibadah melalui medium digital menjadi
bukti bahawa Islam terus berkembang dan menyesuaikan diri dengan keperluan semasa umatnya,” katanya.
Untuk rekod, kutipan zakat aset digital meningkat 73 peratus dengan kutipan sebanyak RM25,983.91 pada 2023, manakala untuk tahun ini sekitar RM44,991.97.