Pada awal minggu lalu, dunia digemparkan dengan berita tidak masuk akal di mana satu ‘art berat’; sebiji buah pisang yang dilekatkan pada dinding dengan pelekat telah terjual pada harga USD6.2 juta (RM27.6 juta) dalam satu acara lelongan.

Buah itu dibeli oleh seorang usahawan kripto, Justin Sun. Beliau telah pun makan buah tersebut pada 29 November lalu di hadapan khalayak ramai.

Baca Juga:

Menurutnya, buah pisang berharga RM27.6 juta itu mempunyai rasa yang berbeza daripada buah pisang kebanyakkan.

“Ramai kawan-kawan bertanyakan tentang rasa pisang itu. Sejujurnya, untuk pisang yang mempunyai cerita belakang sebegitu, rasanya sememangnya berbeza dari yang biasa.

“Saya dapat melihat sedikit gambaran tentang rasa pisang Big Mike dari 100 tahun yang lalu,” kata Justin.

Bagaimanapun dalam keterujaan warga dunia mengenai berita tersebut, ada pihak yang sangat sedih selepas mengetahui pisangnya dijual semahal itu.

Shah Alam, seorang peniaga buah di tepi bangunan di luar rumah lelong Sotheby, hanya menjual buah pisang USD 0.35 sen (RM1.57) atau USD1 (RM4.46) untuk empat biji pisang.

Beliau berasa sangat sedih, hampa apabila salah satu buah pisang yang dijualnya, dibeli sehingga puluhan juta ringgit.

“Saya seorang lelaki miskin. Saya tidak pernah mempunyai wang seperti ini. Saya tidak pernah melihat wang seperti ini,” kata Shah Alam, 74, dengan suaranya pecah kesebakan.

Seorang duda dari Dhaka, Bangladesh, Shah Alam merupakan penjawat awam sebelum berpindah ke Amerika Syarikat pada 2007 untuk lebih rapat dengan seorang daripada dua anaknya, seorang anak perempuan yang sudah berkahwin yang tinggal di Long Island.

Dia berkata rumahnya adalah apartmen bawah tanah dengan lima lelaki lain di Parkchester, di Bronx. Untuk biliknya dia membayar sewa USD500 (RM2,227) sebulan, katanya yang bercakap dalam Bahasa Bengali.

Kedai buahnya beroperasi selama 12 jam, empat hari seminggu dengan gajinya USD12 (RM53) per jam. Oleh kerana Bahasa Inggerisnya terhad, dia hanya boleh nyatakan nama buahan serta harganya; epal, tiga untuk USD2 (RM8), pear kecil, USD1 (RM4) setiap satu.

Difahamkan beliau mempunyai masalah penglihatan dan rawatan katarak akan dibuat pada Januari hadapan.

“Mereka yang membelinya (sebiji pisang berharga RM27.6 juta), orang jenis apakah mereka? Apakah mereka tidak tahu apa itu pisang?” tanya beliau.

Tular berita kekecewaan Shah Alam, Justin membuat keputusan untuk membeli 100,000 biji pisang daripada gerai tersebut dan memberikan kepada orang ramai secara percuma.

“Untuk berterima kasih kepada En. Shah Alam, saya telah memutuskan untuk membeli 100,000 pisang dari gerai beliau di Upper East Side New York.

“Pisang itu akan diedarkan secara percuma ke seluruh dunia melalui gerai tersebut. Tunjukkan ID yang sah untuk menuntut satu pisang, sementara bekalan masih ada,” petik hantaran X.com Justin.