Seorang pemandu pelancong sambilan, Noornabilla Azemi, berdepan detik menakutkan apabila diserang seorang lelaki dari Malaysia di Jepun. Insiden pukul itu dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati.

Memetik Berita Harian, di dalam kejadian yang dilaporkan sejak enam bulan lalu, wanita itu bukan sahaja dipukul, ditarik rambut, badannya dipijak dengan kasut but sehingga meninggalkan kesan lebam dan lebih teruk lagi menerima ancaman bunuh.

Bahana Tak Puas Hati 'Termasuk' Kawasan Monopoli, Wanita Dibelasah Pengusaha Pelancongan Malaysia Di Tokyo
Sumber Gambar: Berita Harian

Semua aksi didakwa telah dirakam oleh rakan suspek menggunakan telefon bimbit.

Pemandu pelancong sambilan, Noornabilla Azemi, berdepan detik menakutkan apabila diserang seorang lelaki dari Malaysia di Jepun. Insiden pukul itu dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati.

Kongsinya, dia pada ketika berada di Jepun kerana mengendalikan sebuah kumpulan pelancong Malaysia di Tokyo susulan tugasan diberikan sebuah agensi pelancongan tempatan.

“Saya mengenali lelaki itu sejak dua tahun lalu dan beberapa kali pernah ditawarkan tugas sebagai pemandu pelancong dengannya, namun tidak menyangka dia sanggup bertindak ganas akibat tidak berpuas hati kononnya saya memasuki kawasan dimonopolinya di Tokyo.

“Ketika kejadian itu, suami, Mohamad Zhaza Mohamad, 34, bersama seorang rakan dari Malaysia yang menetap di Tokyo, turut dibelasah dan lelaki itu juga merampas wang tunai 75,000 yen (RM2,300) serta mengarahkan kami segera pulang ke Malaysia,” katanya pada sidang media semalam.

Difahamkan, lelaki tersebut dikenali ramai sebagai penulis buku pelancongan ke Jepun dan aktif berkongsi maklumat di media sosial.

Selepas insiden itu, Noornabilla segera membuat laporan kepada polis Jepun dan Kedutaan Malaysia di Tokyo. Setibanya di tanah air, dia turut membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang serta menjalani pemeriksaan kesihatan di klinik dan Hospital Cyberjaya.

Noornabilla menyatakan, pada April lalu, dia kembali ke Jepun untuk mendapatkan maklumat terkini siasatan. Pihak berkuasa Jepun mengesahkan siasatan masih berjalan dan memerlukan kerjasama daripada Kedutaan Malaysia.

Katanya beliau mempunyai bukti dan saksi berhubung kejadian itu dan sedia beri kerjasama kepada pihak berkuasa bagi menjalankan siasatan selanjutnya.

“Saya berharap pihak berkuasa Malaysia dapat membantu membawa lelaki itu pulang dan mendakwa individu terbabit supaya insiden seumpama ini tidak berulang kepada wanita lain,” katanya.

Beliau memahami jika kes ini sedikit rumit memandangkan kejadian berlaku di luar negara tetapi masih berharap agar kes ini boleh dibawa ke muka pengadilan kerana tidak mahu insiden hitam berulang lagi di masa depan.

Sementara,Pengurus Mind Pro Management (MPM), Ena Awil meluahkan rasa kesal kerana tiada tindakan susulan terhadap lelaki terbabit walaupun laporan polis dibuat lebih 6 bulan lalu.

Beliau berkata, lelaki tersebut masih bebas, manakala mangsa dibayangi trauma dan kes ini membabitkan isu keselamatan serta maruah wanita yang diperlakukan secara kejam. Oleh itu, dia sedia membantu mangsa untuk memastikan suaranya didengari oleh pihak atasan.