Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kementerian Pendidikan perlu menggandakan usaha untuk meningkatkan tahap penguasaan Bahasa Inggeris.
Beliau menegaskan bahawa kemahiran berbahasa Inggeris amat penting bagi daya saing masa depan Malaysia dan tidak boleh dipandang ringan, petik The Malay Mail.
Baca Juga:
- Orang Perak Paling Hebat ‘Speaking’ Bahasa Inggeris, Lapor Data Antarabangsa

- Pelajar Gelarkan Ajar Matematik Dalam Bahasa Inggeris Sama Seperti Penjajah Undang Kecaman

- ‘Jangan Perlekeh Bahasa Melayu’ – PM Tegur Golongan Elit Terlalu Obses Bahasa Inggeris

Beliau berkata sedemikian dalam ucapannya pada Majlis Makan Malam Jubli Emas ke-50 Kumpulan AmBank baru-baru ini.
“Kita perlu menerima hakikat bahawa tahap penguasaan Bahasa Inggeris adalah terlalu kritikal, sangat penting dalam hal ini. Ini bermaksud Kementerian Pendidikan mesti mengambil langkah untuk meningkatkan tahap penguasaan Bahasa Inggeris,” kata beliau.
Pada masa yang sama, Anwar menegaskan semula bahawa Bahasa Malaysia tetap menjadi bahasa kebangsaan dan mesti diperkukuh sebagai faktor penyatuan.
“Saya tidak boleh terima rakyat Malaysia yang tidak mahir dalam bahasa Melayu. Ia bahasa kebangsaan kita, dan kita mesti menguasainya dengan baik,” jelasnya.
Dalam ucapannya, Perdana Menteri turut menegaskan bahawa kejayaan Malaysia sebagai sebuah negara bergantung pada dasar inklusif yang merangkul semua komuniti tanpa mengira kaum atau latar belakang.
“Negara ini hanya boleh berjaya jika kita mempunyai dasar dan hala tuju yang jelas untuk merangkul setiap rakyat Malaysia supaya mereka merasakan diri mereka dilindungi dan dihargai.
“Dengan itu barulah kita mampu bertahan sebagai sebuah negara yang benar-benar menunjukkan kasih sayang kepada semua rakyatnya,” katanya.
Anwar menambah, tiada sebab untuk meminggirkan usaha menguasai Bahasa Inggeris atau bahasa lain.
“Tiada sebab kenapa kita perlu meminggirkan atau menyukarkan orang lain untuk cuba meningkatkan penguasaan mereka dalam Bahasa Inggeris, sama seperti bahasa Cina, Tamil, Arab atau Perancis,” katanya.