Sikap orang Melayu yang tebal dengan pepatah masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang lembu menguak besar ditunjukkan di dalam gaya mereka berkomunikasi.
Pergi bengkel Cina, dicakapnya bahasa Melayu telo Cina. Jumpa kontraktor Indonesia, dicakapnya bahasa Melayu telo Indonesia. Naik ke Utara atau ke Pantai Timur pun dicubanya telo tempatan (walaupun buruk benar bunyinya).
Belum cerita yang ke luar negara. Mencuba bercakap English di dalam telo British atau Amerika.
Belum lagi cerita ‘men in suits‘ di dalam bilik mesyuarat yang berbahasa Inggeris walaupun rata-rata di dalam bilik mesyuarat tersebut berkulit sawo matang dan makanan kegemaran mereka adalah budu, tempoyak, belacan dan cencaluk.
Betapa ‘accommodating’ sifat Melayu itu. Mat Salleh panggil ia sebagai ‘The art of changing hats’. Tapi kemesraan ini ada 2 timbal-baliknya.
Yang pertama, melemahkan penguasaan Bahasa Melayu dari aspek perluasaan penggunaan dan penciptaan terma serta kosa kata yang baru. Diari ‘vocabulary’ yang semakin menipis. Diburukkan lagi dengan usaha memartabatkan kembali Bahasa Melayu yang lemah dan ibarat melepaskan batok di tangga.
Yang kedua, ia akan semakin mengurangkan relevan bahasa tersebut untuk digunakan di dalam pelbagai urusan. Akhirnya, ia hanya bahasa yang sesuai digunakan untuk urusan jual beli di pasar-pasar basah sekitar Selayang yang rata-ratanya di dominasi orang luar.
Ya, yang BAIK ITU BUDI. Tetapi yang INDAH ITU BAHASA bukan?
Bukanlah menjadi satu dosa untuk menguasai bahasa kedua dan ketiga, mahupun yang keempat dan yang kelima, TETAPI bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan WAJIB DIUTAMAKAN.
Lebih-lebih lagi di bumi Malaysia ini. Kerana bahasa Melayu adalah bahasa penghubung dan ‘lingua franca’ di dalam negara.
Di dalam kita mengambil sikap masuk kandang kambing mengembek masuk kandang lembu menguak, jangan dilupakan juga sikap di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung.
Usaha memartabatkan kembali Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan bukan tugas badan bahasa negara semata-mata. Ia perlu disokong dan diusahakan bersama pelbagai pihak di dalam pelbagai bidang dan kerjaya.
Ya. Saya akui. Ada beberapa terma yang kita perlu pinjam daripada bahasa lain kerana tiada terjemahan sesuai di dalam bahasa Melayu. Ini kita tak boleh lari. Bahasa Inggeris juga banyak mengambil kata pinjaman sehingga orang German menggelarkan bahasa Inggeris sebagai ‘bastardized language’.
TETAPI, dalam kita ralit nak me’Melayu’kan bahasa lainnya, janganlah sehingga yang ada perkataan dan terma di dalam bahasa Melayu yang pun kita masih nak ‘Inggeris’kan (contoh: yuran – fi, kandungan – konten, pasukan – tim)
Pusat bahasa negara sudah tidak seharusnya bekerja di dalam ‘silo’ dan zon selesa mereka. Mereka WAJIB untuk berhubung dan menjayakan usahasama dengan pelbagai bidang dan kerjaya. Supaya bidang sains, matematik, kejuruteraan, undang-undang, perniagaan dan teknologi juga mencipta terma-terma baru di dalam Bahasa Melayu.
Ianya amat menduka-citakan apabila ada rakyat Malaysia sendiri yang memperlekehkan dan merendahkan martabat bahasa kebangsaannya sendiri.
Dalam perihal bahasa Melayu (malah segala bentuk warisan, seni dan kebudayaannya) jangan terkejut jika kita ke luar negara dan berjumpa orang luar yang fasih berbahasa Melayu, dan kita dengan bangga berkata:
“Oh awak fasih ya berbahasa Melayu.”
Dan dia menjawab.
“Bahasa Melayu? Saya tak pasti. Tapi saya fasih berbahasa Indonesia.”