Polis menahan seorang lelaki tempatan dipercayai terlibat dalam kes khianat dengan api melibatkan sebuah lori tunda milik Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) di depoh simpanan kenderaan, Lot 1 Johor Bahru Waterfront pada Jumaat lepas.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan dan kejadian dipercayai berpunca daripada ketidakpuasan hati suspek selepas kereta Perodua Axia miliknya ditunda pihak MBJB sehari sebelum itu, petik Bernama.
Baca Juga:
- MBJB Ambil Tindakan Terhadap Pekerja Pembersihan Buang Sampah Tepi Pantai

- Hero Tahan Peragut Ditawarkan Jawatan Tetap Oleh MBJB

“Suspek yang tidak mempunyai wang untuk membayar kompaun didakwa bertindak di luar batasan dengan menuang petrol dan membakar lori berkenaan sehingga mengakibatkan kerugian kira-kira RM10,000.
“Bertindak atas maklumat, polis berjaya menahan suspek pada hari sama pukul 1.06 tengah hari dan merampas beberapa barang kes termasuk sebuah tong aluminium serta pemetik api,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Raub berkata semakan rekod lampau mendapati suspek pernah terlibat dalam kes di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952, namun saringan air kencing yang dilakukan didapati negatif.
Beliau berkata suspek kini direman selama lima hari bermula semalam hingga 19 Ogos bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.