Legenda Wales, Gareth Bale percaya bahawa Jose Mourinho mempunyai perancangan besar untuk cuba ‘menguruskan ego’ dalam skuad Real Madrid semasa kepulangannya ke kelab itu.

Kepulangan Mourinho ke ibu kota Sepanyol itu disahkan awal bulan ini, 13 tahun selepas tempoh pertamanya mengendalikan pasukan tersebut bagi menggantikan Alvaro Arbeloa yang meninggalkan jawatan itu.

Pengurus berusia 63 tahun itu menandatangani kontrak selama tiga tahun bersama Los Blancos dengan misi untuk memulihkan semula prestasi kelab selepas musim 2025/26 yang hambar tanpa sebarang trofi.

Musim tersebut dilihat tidak stabil sama ada di dalam atau luar padang dengan Federico Valverde dan Aurelien Tchouameni terlibat dalam pergaduhan selepas sesi latihan, manakala Kylian Mbappe juga dilaporkan bergaduh dengan Arbeloa selepas mendakwa beliau hanya pilihan penyerang keempat Real Madrid.

Madrid turut gagal memenangi gelaran LaLiga apabila tewas kepada musuh tradisi Barcelona, selain tersingkir di peringkat suku akhir Liga Juara-Juara serta dikejutkan dengan kekalahan kepada pasukan divisyen kedua, Albacete di pusingan 16 terakhir Copa del Rey.

Namun Bale yang pernah bersama Madrid selama sembilan tahun serta menjalani pinjaman semusim di bawah Mourinho di Tottenham, yakin keadaan akan berubah di bawah bimbingannya.

Bale Anggap Mourinho Pilihan Tepat Buat Real Madrid

“Dengan mempunyai jurulatih berpengalaman seperti Carlo Ancelotti sebelum ini, Jose diharap dapat menenangkan keadaan dan membawa semua pemain ke arah yang sama,” kata Bale menurut sumber laporan Bein Sports.

“Carlo seorang pengurus yang hebat. Dia memahami psikologi dan tekanan yang datang bersama tugas itu. Tetapi dia membina hubungan dengan anda sehingga anda rasa dia benar-benar mengambil berat tentang anda.”

“Kadang-kadang, pemain tidak bermain, tetapi dia tahu cara untuk mengekalkan mereka bersama pasukan dan terus memberi motivasi.”

“Di kelab besar seperti Madrid, anda tidak perlu terlalu banyak melatih. Anda perlu mengurus ego. Itulah sebabnya dia [Mourinho] begitu berjaya di kelab-kelab terbesar.”

“Dia juga memiliki pengalaman yang cukup luas. Dia hanya mencabar anda untuk mengeluarkan kemampuan terbaik yang ada. Dia akan cuba memahami setiap pemain dan mencari apa sahaja yang boleh membangkitkan prestasi mereka.”

“Kadang-kadang ia mungkin dilakukan dengan mengkritik seseorang di media dan ada masanya dengan menunjukkan sokongan serta mengambil berat terhadap mereka.”

“Jose pernah berada di Madrid, dia memahami dinamik di kelab itu dan tahu bagaimana segala-galanya berfungsi. Dia pasti sedang merangka satu pelan untuk memastikan semuanya berjalan dengan baik,” tambah Bale lagi.

Sumber