Pihak berkuasa Bali menggesa pelancong agar memastikan mereka berada dalam keadaan sihat dan cergas secara fizikal sebelum melancong ke destinasi percutian popular di Indonesia itu.

Ini berikutan beberapa insiden kecemasan dan operasi menyelamat yang melibatkan warga asing kebelakangan ini.

Memetik SCMP, The Sun pada Ahad lalu pasukan perubatan dan penyelamat tempatan menasihati pelancong untuk menilai dengan serius keadaan fizikal mereka sebelum datang melawat.

bali
Sumber Gambar: Unsplash

Artikel itu turut menyebut bencana alam dan cuaca buruk yang melanda pulau popular itu kebelakangan ini.

Terdapat beberapa insiden berlaku

Gesaan ini dibuat di tengah-tengah beberapa siri insiden yang menimpa pelancong baru-baru ini, walaupun tidak semua kes berkaitan dengan masalah kesihatan.

Bali
Sumber Gambar: Bass Lake Watersport

Bulan lalu, seorang pelancong Amerika dilaporkan hilang semalaman berhampiran Nusa Lembongan, tenggara Bali, semasa dalam perjalanan menaiki jet ski. Dia akhirnya ditemui terapung di laut oleh pasukan mencari dan menyelamat.

Jet ski lelaki itu kehabisan minyak dan dia kemudiannya ditemui oleh sebuah kapal tempatan, di mana nakhodanya segera memaklumkan pihak berkuasa.

Bencana alam sukarkan operasi menyelamat

The Bali Times melaporkan bahawa operasi menyelamat menghadapi cabaran akibat ombak besar, dengan operasi meluas yang melibatkan unit polis, kesihatan, dan tentera laut.

Bali Gesa Pelancong Luar Untuk Periksa Kesihatan Dan Kekal 'Fit', Apa Sebabnya?
Sumber Gambar: Allspinesurgerycenter

The Bali Sun turut melaporkan kes seorang warga Australia pada 6 Julai lalu yang tiba dengan penerbangan Jetstar. Dia mengalami kecederaan serius di kepala dan leher selepas terjatuh dan terhantuk dinding di kawasan tuntutan bagasi lapangan terbang.

“Mangsa mengalami sawan dan pengsan di lokasi kejadian,” kata jurucakap polis lapangan terbang Bali, I Gusti Ngurah Rai Ipda I Gede Suka Artana, sambil menambah bahawa isteri lelaki itu memberitahu pihak berkuasa bahawa suaminya mempunyai sejarah darah tinggi.

“Selepas menerima rawatan awal, mangsa kemudian dipindahkan ke Hospital BIMC Kuta untuk rawatan lanjut,” kata Artana.

Masih ada mangsa yang hilang

Sementara itu, operasi mencari seorang pelancong Arab Saudi yang hilang hampir seminggu lalu semasa berenang di Pantai Batu Belig masih diteruskan.

Bali Gesa Pelancong Luar Untuk Periksa Kesihatan Dan Kekal 'Fit', Apa Sebabnya?
Sumber Gambar: Ilham Muzakki

Menurut The Jakarta Post, pihak berkuasa berkata Alhawsawi Asad Mohamed, 29, sedang berenang bersama pasangannya warga Rusia, 30, di lokasi luncur air popular itu pada 8 Julai lalu apabila dia dihanyutkan arus deras.

Pasukan penyelamat pantai gagal menemuinya dan melaporkan kes itu kepada agensi penyelamat. Enam anggota bertungkus-lumus mencari dalam radius 1km berhampiran lokasi kejadian, manakala penduduk tempatan mengadakan upacara keagamaan di pantai untuk mendoakan keselamatannya.

Polis dan anggota lain, termasuk sukarelawan tempatan, menyertai operasi mencari pada hari-hari berikutnya, menggunakan peralatan seperti jet ski, bot getah, dan bot bermotor.

Dalam satu lagi kes awal bulan ini, seorang ibu berusia 40 tahun dan anak lelakinya yang berusia 19 tahun berjaya diselamatkan selepas sesat di Gunung Batukaru, Bali, di Kabupaten Tabanan.

Ketua cawangan Agensi Mencari dan Menyelamat Kebangsaan (Basarnas) Bali, I Nyoman Sidakarya, memberitahu media tempatan bahawa kakitangan mencari dan menyelamat menemui sisa makanan yang ditinggalkan oleh dua beranak itu.

Mereka merupakan sebahagian daripada kumpulan pendaki tanpa pemandu arah. Menurut The Bali Sun, adalah haram bagi pelancong untuk mendaki gunung berapi atau gunung di Bali tanpa pemandu arah tempatan.