Selepas menghabiskan masa lebih dua dekad Maljindar Singh Sidhu Brar berusaha menyelamatkan banglo berusia 106 tahun miliknya di Rawang daripada dirobohkan temui jalan penamat.
Pada 18 Ogos, Mahkamah Rayuan menolak rayuan terakhir beliau untuk menyelamatkan banglo berusia 106 tahun itu, yang telah menjadi tempat kediaman keluarganya sejak 65 tahun lalu.
Maljindar, yang juga dikenali sebagai Jimmy, berkata mahkamah rayuan memutuskan bahawa beliau tidak mempunyai hak ke atas hartanah berkenaan, petik Free Malaysia Today.
Beliau sejak itu telah mengosongkan banglo berunsur seni bina Sino-Malay-Palladian tersebut, walaupun beliau tidak mengetahui bila ia akan dirobohkan.
“Ia amat menyedihkan bagi anak-anak perempuan dan ibu saya,” katanya kepada FMT.
Lebih memilukan, Jimmy hanya diberikan tempoh enam hari untuk mengosongkan banglo itu, yang bermakna beliau tidak sempat menyelamatkan mana-mana bahagian daripada struktur banglo berkenaan.
Jika diberikan peluang, beliau berkata beliau akan “mengambil setiap papan, setiap kepingan kayu”, sambil menambah bahawa ini adalah bahagian paling menyedihkan dalam keseluruhan episod ini.
“Saya tidak kisah kehilangan tanah itu, tetapi kehilangan bilik-bilik dan tiang-tiang yang telah menjadi kediaman keluarga anda selama lebih separuh abad adalah sesuatu yang amat menyedihkan,” kata Jimmy, sambil menambah bahawa beliau telah membelanjakan hampir satu juta ringgit untuk kos perundangan.
Banglo berkenaan dibina pada tahun 1920 oleh Berjuntai Tin Dredging Bhd, yang memegang pajakan perlombongan bagi kawasan tersebut pada ketika itu.
Pada tahun 1959, syarikat itu menjual banglo berkenaan kepada pekerjanya, Pologa Nathan, yang kemudiannya menjualnya kepada nenek Maljindar, Gurtha Kaur.
Menurut laporan berita terdahulu, keluarga itu pertama kali memohon pada tahun 1967 kepada pejabat tanah Kuala Kubu Bharu, yang kemudiannya dinamakan semula sebagai pejabat tanah Gombak, untuk memiliki tanah tempat banglo itu berdiri, namun tidak menerima sebarang jawapan.
Jimmy berkata Gurtha memindahkan kepentingannya terhadap banglo itu kepada keluarga berkenaan pada tahun 1989 melalui surat ikatan penyerahan hak (deed of assignment). Walau bagaimanapun, beliau berkata pajakan perlombongan bagi tanah tersebut telah pun diberikan kepada dua pengeluar simen pada masa itu.
Keluarga berkenaan telah memohon sebanyak tujuh kali untuk memiliki tanah tersebut, tetapi diberitahu setiap kali bahawa kawasan itu telah pun diambil di bawah pajakan perlombongan dan diminta memohon semula apabila pajakan itu tamat.
Keluarga tersebut turut membawa perkara ini ke mahkamah.
Dalam surat-menyurat terakhirnya dengan Pejabat Tanah dan Galian Selangor, Jimmy, yang mengendalikan perniagaan pengangkutan, mendapat tahu bahawa pajakan itu dijadualkan tamat pada akhir tahun 2025.
Walau bagaimanapun, pada awal tahun 2025, keluarganya mendapat tahu bahawa pajakan tersebut telah dilanjutkan untuk tempoh 20 tahun lagi, iaitu sehingga akhir tahun 2045.