Wakil ‘Bangsa’ RXZ, Lukhman Hassan menerusi perkongsian di Facebook tampil memberikan penjelasan berhubung beberapa cadangan yang dibangkitkan susulan isu melibatkan komuniti RXZ.
Menurut Lukhman, pihaknya terbuka dengan cadangan supaya proses pendaftaran dibuat bersama gambar, namun mereka tidak mempunyai kuasa untuk menentukan spesifikasi kenderaan yang boleh atau tidak boleh didaftarkan.
Lukhman berkata: “Kami okay je. Terima cadangan, tapi kemampuan untuk meluluskan spesifikasi kenderaan yang boleh daftar dan tak boleh daftar kami tiada.”
Dia berkata, sekiranya ada pihak yang bersedia membantu, mereka terbuka untuk bekerjasama bagi memastikan proses tersebut berjalan dengan lebih teratur.
“Select [pilih] 100,000 pendaftaran. Kalau tak lulus, komen terus apa yang perlu diubah dan follow up sentiasa rider tersebut sehingga lulus,” tambahnya.
Lukhman menjelaskan, perkara itu juga menjadi antara sebab sesi libat urus masih diperlukan sebelum sebarang pelaksanaan dibuat.
“Sebab tu sesi libat urus diperlukan lagi selepas ini jika ingin melaksanakan. Macam nak masuk PUSPAKOM ah, sekmung[kamu] lepas ni kena booking,” jelasnya.
Mengenai cadangan untuk menutup Lebuhraya Pantai Timur (LPT), Lukhman menjelaskan perkara tersebut sebenarnya datang daripada pihak LLM, manakala pihak RXZ sekadar berseloroh mengenainya.
Dia berkata: “Pihak LLM yang mencadangkan tapi kami berselorohlah mahukannya.
“Event Full Marathon boleh tutup jalan negeri dan persekutuan selama 12 jam okay je. Kenapa kami tak boleh?”
Menurutnya, persoalan utama adalah mengenai hak pengguna jalan raya yang turut membayar cukai jalan.
“Kami pembayar roadtax kot. Runner bayar road tax juga ke?”
Bagaimanapun, Lukhman menegaskan komuniti RXZ sebenarnya tidak mempunyai hasrat untuk menutup lebuh raya.
“Tapi actually kami tak nak pun. Cuma nak bagitahu, Malaysia boleh dan ada event yang menutup lebuhraya.”
Dalam masa sama, Lukhman turut menyampaikan satu mesej tegas mengenai pendirian komuniti RXZ.
“Satu je nak ingatkan, kami Bangsa RXZ. Menunduk tanda hormat. Tapi tidak membenarkan orang memijak. Jika dipijak, kami pasti melawan.”
Beliau turut menegaskan bahawa komuniti RXZ tidak mudah dipengaruhi dengan wang ringgit.
“Kami hanya boleh dibeli dengan respect dan juga malu mato. Tidak boleh dibeli dengan wang ringgit. Kalau Pound Sterling mungkin Man ambil.”