Kegembiraan lebih 40,000 penunggang motosikal yang berhimpun untuk acara RXZ Members 6.0 di Litar Motor Terengganu, Gong Badak bertukar menjadi tragedi apabila dua kematian dilaporkan melibatkan peserta konvoi dalam dua kemalangan berasingan di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) semalam, lapor Bernama.
Dalam kemalangan pertama, Ahmad Amir Muhammad, 29, dari Felda Seroja, Jengka 18, Temerloh, Pahang, maut selepas mengalami kecederaan parah di kepala.

Insiden berlaku pada jam 3 petang di KM 379.5 LPT2, berhampiran Ajil-Bukit Besi.
Menurut Ketua Polis Hulu Terengganu, DSP Zainul Mujahidin Mat Yudin, Ahmad Amir sedang memotong sebuah treler di lorong kecemasan sebelum terlanggar sebuah motosikal yang berhenti di lorong tersebut.
Tambahnya lagi, selepas berlanggar mangsa terjatuh dan diseret oleh treler tersebut.
Dia kemudiannya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Mayat Ahmad Amir telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu untuk bedah siasat. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beberapa jam sebelum itu, satu lagi kemalangan tragis berlaku di KM270.1 LPT2, berhampiran Perasing menghala ke Kuantan.
Kemalangan yang berlaku pada jam 10.45 pagi melibatkan dua motosikal daripada acara yang sama. Seorang lagi penunggang, Mohamad Firdaus Abdul Rashid, 29, dari Bandar Seri Jempol, Negeri Sembilan maut di tempat kejadian, manakala rakannya, Muhammad Shafiq Abdul Halim, 29, mengalami kecederaan serius.
Ketua Polis Kemaman, Supt Hanyan Ramlan mengesahkan bahawa kedua-dua mangsa adalah peserta acara RXZ Members 6.0. Shafiq kini sedang menerima rawatan di hospital akibat kecederaan yang dialaminya.
Bagi mengelak insiden sama berulang semasa peserta konvoi pulang, satu pasukan respons kecemasan telah ditempatkan di plaza tol Kijal sejak jam 8 malam semalam.
Pasukan ini terdiri daripada anggota polis, pertahanan awam dan bomba, yang bersiap sedia jika berlaku kemalangan di kawasan antara Paka hingga ke sempadan Kuantan.
Menurut Hanyan, dua buah Toyota Hilux milik polis juga ditempatkan di jejambat Pasir Gajah dan Jabur untuk memantau dan menghidupkan lampu biru bagi memperlahankan kelajuan penunggang motosikal.