Baru-baru ini, satu video tular di TikTok yang dimuat naik oleh pengguna @azamjusoh memaparkan air banjir bertukar warna merah darah terang di luar sebuah rumah dipercayai di Kelantan.

Video berdurasi 9 saat itu berjaya meraih lebih 1 juta tontonan dan mencetuskan pelbagai reaksi daripada netizen yang keliru dan ingin tahu apa yang menyebabkan fenomena aneh ini.

Dalam video tersebut, air banjir yang lazimnya keruh bertukar menjadi merah.

Ketika kamera bergerak, kelihatan warna merah itu bercampur dengan air banjir biasa di kawasan berkenaan.

Fenomena ini mengundang perdebatan di ruangan komen, dengan netizen melontarkan pelbagai teori – ada yang mengaitkannya dengan mitos, ada juga yang berjenaka bahawa “Laut Merah” kini muncul di Malaysia.

Sebahagian netizen menyatakan kebimbangan, mengesyaki tumpahan bahan kimia dari kilang berhampiran.

Ada yang berpendapat warna itu mungkin berpunca daripada kilang batik, di mana pewarna kain yang tidak digunakan mengalir ke kawasan sekitar akibat banjir.

Namun, misteri ini akhirnya terjawab apabila pemilik akaun TikTok menjelaskan apa sebenarnya yang berlaku.

Menurutnya, warna merah itu bukan berpunca daripada pewarna kain, tetapi daripada pewarna makanan – lebih tepat lagi, sisa bahan dari sebuah kilang sos cili berhampiran yang terbawa oleh air banjir.

Walaupun penjelasan ini menenangkan sebahagian netizen, ia juga menimbulkan persoalan baharu mengenai pengurusan sisa industri.

Bagaimana pewarna makanan ini boleh terlepas ke persekitaran?

Ruangan komen terus dibanjiri pelbagai reaksi.

Ada yang melawak, “Kalau tengah malam nampak ni, memang ingat ada zombie kat kampung.”

Sementara itu, yang lain mengambil kesempatan untuk membincangkan isu pencemaran industri di kawasan perumahan.

Walaupun ianya tidak merbahaya, tetapi pengurusan sisa industri sepatutnya diuruskan dengan baik, tambah-tambah lagi di kawasan sering terjadinya banjir agar ia tidak merosakkan alam sekitar.