Pulau Pinang sedang hebat dilanda ujian banjir, dan apakah yang kita lakukan untuk membantu hidup mangsa menjadi lebih mudah?

Bilal, Sapno Tukijo dan petugas-petugas di Surau Taman Free School membuka surau berkenaan kepada sekumpulan lelaki dan wanita berbangsa Cina.

HYPE
Dari Konten Ke Jualan, TikTok Shop ‘Game Changer’ E-Dagang
Baca lagi →

Perkara ini dirakamkan dalam sekeping gambar yang seterusnya menjadi tular.

banjir-penang-03a

Terdapat beberapa orang menyelar tindakan menempatkan bukan muslim di dalam masjid, malah ada yang mempersoalkan kenapa tidak memakai baju di dalam masjid.

Perkara ini dijelaskan oleh pengerusi surau, Zakaria Malik, dengan baik:

“Bismillahhirrahmannirrahim dengan izin Allah barulah dapat saya menulis di sini setelah sibuk menghadapi bencana, semasa dan selepas banjir.

“Saya amat berbangga mempunyai ahli-ahli jawatankuasa dan penduduk-penduduk Taman Free School yang sama-sama memberi bantuan pada masa yang amat genting dan apa yang di lakukan oleh bilal kami dan juga beberapa anak kariah yang bertungkus lumus menyelamatkan mangsa-mangsa banjir di antara jam pagi hingga 5 pagi bergelut dengan air deras dengan menggunakan bot tanpa enjin yang dipunyai oleh salah seorang penduduk di situ.

“Kalaulah pada waktu itu ada orang ambil gambar barulah orang-orang yang memberi komen negatif akan faham keadaan sebenar kenapa orang-orang yang diselamatkan ditempatkan di surau dan ada yang terpaksa membuka baju disebabkan kesejukan melampau.

“Di surau (kami) sendiri di tingkat bawah habis rosak permaidani yang baru dipasang dan alat siaraya.

“Pakaian yang ada di surau pun hanyalah telekung, kain pelikat, kain ihram.

“Jadi dalam bergelut dengan keadaan air yang deras kami lakukan apa yang terdaya dengan niat manusia itu semua sama ciptaan Allah SWT.

“Mana tahu Allah akan beri hidayah kepada mereka yang dibantu.

“Bukan setakat manusia tetapi anjing pun kami selamatkan dan dibiarkan di perkarangan surau sehingga air surut kerana anjing pun ciptaan Allah SWT.

“Malah pada waktu pagi semasa tiada bantuan yang datang kami gunakan wang poket sendiri untuk membeli makanan untuk mangsa banjir dan orang-orang yang membantu.

“Terima kasih juga kepada semua pihak-pihak dan jabatan yang datang memberi bantuan seperti JPAM, Jabatan Kebajikan Masyarakat yang datang memantau dan memberi bantuan makanan sehingga kelmarin, Tentera Di Raja Malaysia yang sehingga hari ini memberi bantuan pembersihan dan juga memberi bantuan peralatan dan makanan kepada penduduk yang terjejas.

“Terima kasih juga kepada Dato Seri Hishammuddin dan juga YB Jagdeep di atas kehadiran ke tempat kami.

“Bagi yang ingin menghulurkan bantuan ke surau kami bolehlah memasukkan terus ke akaun Bank Rakyat surau bernombor 220721196797 atas nama Madrasah Al-Diniah Surau Taman Free School.

“Sumbangan diperlukan untuk mengganti permaidani dan perlatan yang rosak.

“Saya akhiri coretan saya dengan harapan kita buktikan pada dunia yang rakyat Malaysia masih boleh bersatu ketika saat diperlukan tanpa mengira bangsa, agama dan warna kulit.

Menurut Sapno lagi, pada mulanya penduduk mahu ke kuil berhampiran tetapi dihalang oleh arus deras.