Pelanggan bank di Malaysia perlu bersedia dengan pelaksanaan cukai perkhidmatan baharu sebanyak lapan peratus (8%) yang akan mula dikenakan ke atas perkhidmatan kewangan tertentu bermula 1 Julai 2025, lapor Berita Harian.

Menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM), Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) dan Persatuan Perbankan Pelaburan Malaysia (MIBA), langkah ini adalah sebahagian daripada peluasan skop cukai perkhidmatan yang telah diwartakan oleh kerajaan baru-baru ini.

Cukai Untuk Perkhidmatan Bukan Asas

Pelaksanaan ini hanya dikenakan ke atas perkhidmatan tertentu yang melibatkan yuran dan komisen.

Cukai

Antara perkhidmatan yang bakal terlibat termasuk transaksi pelaburan, pemindahan dana rentas sempadan, pengeluaran laporan khas serta beberapa perkhidmatan nasihat kewangan.

Bagaimanapun, orang ramai tidak perlu bimbang tentang perkhidmatan asas.

Yuran untuk akaun simpanan dan akaun semasa, termasuk perkhidmatan asas perbankan konvensional dan Islam, akan kekal dikecualikan daripada cukai ini.

Langkah ini adalah untuk memperluas asas cukai negara tanpa membebankan golongan berpendapatan rendah.

Cukai

Ia juga sebahagian daripada usaha kerajaan menyokong matlamat konsolidasi fiskal jangka sederhana.

ABM, AIBIM dan MIBA turut menasihati pelanggan supaya merujuk kepada pengumuman rasmi bank masing-masing untuk mendapatkan maklumat terperinci.

Bank-bank dijangka akan mengemas kini maklumat secara berperingkat menerusi saluran rasmi mereka agar pelanggan dimaklumkan dengan tepat tentang sebarang perubahan atau pengecualian.

Cukai

Justeru, pengguna disaran supaya lebih peka dengan caj yang dikenakan terutama bagi perkhidmatan bukan asas, agar tidak terkejut dengan sebarang caj tambahan pada penyata bank selepas 1 Julai nanti.