Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) telah dianugerahkan IRBA Excellence Award for Islamic Retail Banking in Malaysia 2025 dan menerima anugerah khas, Best Islamic Retail Bank for Social Finance Initiatives in Malaysia 2025 dalam Majlis Anugerah Islamic Retail Banking Awards (IRBA) 2025 yang berlangsung di Karachi, Pakistan.
Pengiktirafan tersebut sekaligus mengukuhkan kedudukan Bank Muamalat sebagai institusic perbankan Islam penuh yang dipercayai dan inovatif dalam memperkasa pertumbuhan inklusif serta pembangunan komuniti.
Baca Juga:
- Bank Muamalat Umum Pemenang Kempen Save2Win, Pencarian Pemenang Utama Diteruskan

- Bank Muamalat Agih Lebih RM20 Juta Kepada 2,274 Usahawan Asnaf & B40 Menerusi iTEKAD

- Peminat Puji Tindakan Bank Muamalat Benarkan Staff Pakai Jersi Harimau Malaya

Pencapaian Bank Muamalat dalam segmen perbankan runcit mencerminkan tumpuan Bank dalam mempertingkat pengalaman pelanggan, memperluas akses digital dan memperkukuh inklusiviti kewangan.
Selaras dengan visi Bank untuk mencipta Kehidupan Lebih Baik, Bersama, strategi runcit Bank terus menawarkan penyelesaian patuh Syariah yang berorientasikan pelanggan bagi memenuhi keperluan rakyat Malaysia daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Pengiktirafan dalam bidang kewangan sosial turut menonjolkan komitmen Bank Muamalat terhadap usaha memperkasakan komuniti melalui inisiatif seperti iTEKAD, Wakaf Muamalat dan Jariah Fund.
Program-program ini membantu usahawan mikro dan golongan rentan melalui akses pembiayaan, bimbingan perniagaan dan peluang mobiliti sosial yang sejajar dengan kesejahteraan ekonomi masyarakat.
Kedua-dua anugerah tersebut telah diterima bagi pihak Bank oleh Mohamad Zalman Jalil, Pengarah Perbankan Runcit, Bank Muamalat.
Anugerah IRBA yang dianjurkan oleh Cambridge Institute of Islamic Finance (Cambridge IFA) dari United Kingdom bertujuan menghargai institusi yang menyerlah dalam kecemerlangan, inovasi dan kepimpinan dalam perbankan Islam runcit.
Pemenang telah dipilih berdasarkan penilaian global ke atas lebih 130 bank Islam melalui model penanda aras eksklusif yang dibangunkan dengan kerjasama Hamdan Bin Mohammed Smart University, Dubai.
Datuk Khairul Kamarudin, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat berkata, “Pengiktirafan ini mencerminkan komitmen Bank Muamalat terhadap kecemerlangan dan inovasi dalam perbankan Islam runcit.
Kami berbesar hati atas pengiktirafan terhadap usaha kami dalam bidang kewangan sosial yang memperkukuh keyakinan bahawa perbankan Islam bukan sahaja perlu memacu pertumbuhan, tetapi turut mewujudkan impak bermakna kepada masyarakat.”
Kini memasuki tahun ke-11 penganjurannya, Islamic Retail Banking Awards merupakan platform global yang meraikan kecemerlangan institusi kewangan Islam di rantau GCC, Asia, Afrika dan wilayah lain.
Majlis anugerah ini diadakan bersempena dengan Islamic Retail Banking Summit, yang menghimpunkan pemimpin dan pakar industri dari seluruh dunia bagi membincangkan inovasi, kelestarian dan hala tuju masa depan kewangan Islam.