Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) hari ini mengumumkan pemenang-pemenang bagi kempen Save2Win dalam satu majlis penyampaian hadiah yang diadakan bersempena Karnival Jom Heboh Pulau Pinang.

Hadiah utama bagi cabutan separuh tahun berupa kenderaan Proton e-MAS 7 Prime yang diumumkan merupakan sebahagian daripada hadiah keseluruhan bernilai lebih RM3.5 juta bagi kempen Save2Win tahun ini.

Antara hadiah lain yang di sampaikan dalam sesi penyampaian hadiah kali ini adalah telefon pintar Iphone 16, baucar perjalanan bernilai RM10,000 dan wang tunai bernilai RM5,000.

Pemenang utama cabutan separuh tahun, Sajihan M.C. Mohamed dari Cawangan Seri Manjung semalam membawa pulang Proton e-MAS 7 Prime, selain beberapa hadiah tambahan termasuk baucar perjalanan dan wang tunai.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Datuk Khairul Kamarudin berkata, “Kempen Save2Win adalah antara inisiatif kami untuk menggalakkan budaya menabung sambil memberi ganjaran kepada pelanggan setia. Kami amat menghargai sokongan mereka, dan penyertaan di Karnival Jom Heboh memberi peluang kepada kami untuk mendekati masyarakat serta memperkenalkan produk Bank Muamalat secara lebih meluas,” katanya.

“Bagi pelanggan yang belum tersenarai sebagai pemenang, jangan risau. Anda masih mempunyai dua bulan lagi untuk menambah simpanan dan berpeluang memenangi hadiah utama berupa kondominium mewah serta pelbagai hadiah hebat lain yang akan diumumkan dalam cabutan akhir tahun pada Januari depan,” tambah Datuk Khairul.

Bank Muamalat Umum Pemenang Kempen Save2Win, Pencarian Pemenang Utama Diteruskan
Antara pemenang kempen Save2Win

Sementara itu, dalam usaha memperkukuh ekosistem keusahawanan sosial, Bank Muamalat turut menampilkan usahawan di bawah program iTEKAD Bank Muamalat, Poko Cafe, untuk turut sama dalam Karnival Jom Heboh pada kali ini.

“Program iTEKAD Bank Muamalat bukan sekadar menyediakan bantuan pembiayaan mikro, tetapi turut memberi peluang pemasaran dan pembangunan kapasiti kepada usahawan. Kehadiran usahawan iTEKAD Poko Cafe membuktikan potensi tinggi usahawan sosial tempatan dan kita harap ia dapat menjadi platform untuk Poko Cafe memperkenalkan jenama mereka kepada pengunjung reruai Bank Muamalat,” kata Khairul.

Bank Muamalat mengalu-alukan orang ramai untuk terus menyimpan melalui kempen Save2Win untuk menikmati ganjaran menarik yang ditawarkan.

Orang ramai juga dijemput untuk mengunjungi reruai Bank Muamalat di Karnival Jom Heboh Pulau Pinang yang akan berlangsung sehingga 9 November untuk mendapatkan maklumat lanjut berkenaan pembiayaan peribadi, kad debit-i, kad kredit-i dan lain-lain produk kewangan Bank Muamalat.

Untuk maklumat lanjut berkenaan Save2Win dan lain-lain produk Bank Muamalat, layari www.muamalat.com.my atau kunjungi mana-mana cawangan berhampiran.