Pada 15 April 2026, Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengenakan penalti monetari pentadbiran sebanyak RM637,500 ke atas Setel Ventures Sdn. Bhd. (Setel) berikutan kegagalan mematuhi keperluan berkaitan sekatan kewangan sasaran (TFS).[2]
Memetik kenyataan rasmi BNM, Setel sebagai sebagai sebuah institusi pelapor (RI) dikehendaki mengemas kini pangkalan data sekatannya tanpa berlengah sebaik sahaja Senarai Domestik diterbitkan dan menjalankan saringan sekatan ke atas keseluruhan pangkalan data pelanggannya berpandukan Senarai Domestik tersebut.
Setel juga dikehendaki memastikan sama ada padanan berpotensi merupakan padanan sebenar. Langkah ini amat penting bagi melindungi RI dan sistem kewangan secara keseluruhan daripada disalahgunakan untuk aktiviti pembiayaan keganasan.
Pelanggaran ini dikesan berikutan laporan yang dikemukakan oleh Setel berhubung beberapa entiti yang ditentukan.
“Hasil penilaian lanjut, BNM mendapati bahawa Setel telah gagal mengemas kini pangkalan data sekatannya serta-merta selepas penerbitan Senarai Domestik.
“Setel juga gagal menjalankan saringan sekatan ke atas pelanggan dalam pangkalan datanya dan seterusnya gagal memastikan sama ada padanan berpotensi tersebut merupakan padanan sebenar.
“Kegagalan ini berpunca daripada kelemahan dalam prosedur kendalian standard (SOP) dan sistem saringan sekatan milik Setel. Sejak itu, Setel telah mengambil tindakan pembetulan dengan mengemas kini serta membaiki kelemahan dalam SOP dan meningkatkan keupayaan sistem dalaman bagi memastikan kepatuhan terhadap keperluan TFS,” kata BNM.
Dalam menentukan jumlah AMP yang dikenakan, faktor-faktor pemberat dan pendorong yang relevan telah diambil kira. Ini merangkumi tahap keseriusan pelanggaran serta perkara berikut berkaitan Setel:
1. Kurangnya keperhatinan yang munasabah bagi memastikan kepatuhan terhadap keperluan TFS;
2. Rekod kepatuhan terdahulu; dan
3. Tingkah laku selepas pelanggaran berlaku, termasuk keberkesanan tindakan pembetulan bagi mencegah berulangnya pelanggaran tersebut.
Pada 6 Mei 2026, Setel telah menjelaskan pembayaran AMP sebanyak RM637,500 yang dikenakan oleh BNM.
“BNM menghendaki semua RI untuk mengekalkan tahap komitmen yang tinggi dalam memastikan kepatuhan terhadap keperluan TFS. BNM tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan penyeliaan dan/atau penguatkuasaan yang sewajarnya sekiranya mana-mana RI gagal memenuhi keperluan undang-undang dan/atau pengawalseliaan yang ditetapkan.
“Tindakan penguatkuasaan yang diambil ke atas Setel adalah selaras dengan pendekatan dan proses yang digariskan dalam Enforcement Approach terbitan BNM,” jelas BNM.